AGENDANASIONAL

Kastam Selangor gagalkan cubaan seludup air zam-zam RM2.53 juta

PELABUHAN KLANG, 24 DIS: Cubaan tiga syarikat menyeludup masuk 112,560 liter air zam-zam dianggarkan bernilai RM2.53 juta menerusi lima kontena digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor dalam dua pemeriksaan di Pelabuhan Barat di sini, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) JKDM Putrajaya, Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata dalam pemeriksaan pertama pada 7 Oktober lepas, sebanyak 38,850 liter air zam-zam yang diisi dalam 3,885 botol 10 liter dianggarkan bernilai RM874,125 ditemui disorokkan dalam dua kontena yang diisytihar oleh pengimportnya sebagai barang makanan dari Timur Tengah.

Dalam pemeriksaan kedua pada 16 Disember lepas pula katanya, sebanyak 73,710 liter air zam-zam yang diisi dalam 7,371 botol 10 liter dianggarkan bernilai RM1.65 juta ditemui dalam tiga kontena diisytihar oleh pengimportnya membawa barangan kelengkapan rumah.

“Air zam-zam merupakan barang yang dilarang untuk dieksport secara komersial oleh Kerajaan Arab Saudi. Malah tiga syarikat terlibat dalam kes ini pula tidak mempunyai permit membawa masuk air zam-zam daripada Jabatan Kesihatan Malaysia.

“Sekarang ini, kita lihat air zam-zam banyak dijual dalam pasaran namun tidak dapat dipastikan ketulenannya. Jadi, kes seperti ini harus diketengahkan supaya masyarakat tidak tertipu,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Latif berkata siasatan awal mendapati modus operandi ketiga-tiga syarikat yang menjalankan perdagangan tekstil itu adalah sama dan pihaknya tidak menolak kemungkinan ia berkaitan antara satu sama lain.

Katanya, pengarah-pengarah syarikat warga tempatan itu termasuk pengarah syarikat ejen penghantaran berkaitan sedang disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.

Dalam pada itu katanya, JKDM Selangor turut menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras dan rokok putih dalam dua pemeriksaan di sekitar Pelabuhan Klang di sini pada 17 dan 19 Disember lepas.

Abdul Latif berkata dalam pemeriksaan pada 17 Disember di sebuah gudang di sini, pihaknya merampas 27,209 liter minuman keras berjenama tanpa duti kastam, disorokkan dalam sebuah kontena yang diisytihar pengimportnya membawa mesin jet air.

Katanya, minuman keras dalam tin dan botol itu dianggarkan bernilai RM136,046 dan melibatkan duti cukai sebanyak RM425,145.

“Pemeriksaan pada 19 Disember di Pelabuhan Utara pula menemukan sembilan juta batang rokok putih dianggarkan bernilai RM720,000 dengan jumlah cukai RM4.15 juta dalam sebuah kontena yang diisytihar membawa barangan keperluan peribadi.

“Kastam sedang memburu sindiket dan pihak terlibat yang cuba menyeludup masuk kedua-dua jenis barangan tersebut dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976,” katanya.

Justeru kata Abdul Latif, pihaknya menggesa masyarakat supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dan memberi jaminan, identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

-BERNAMA


Pengarang :