Sebahagian kasut dan selipar tiruan yang dirampas KPDNHEP di Kawasan Perindustrian Menglembu dan Kawasan Perindustrian Chandan Raya Ipoh pada 18 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kasut, selipar tiruan bernilai RM1.3 juta dirampas

IPOH, 19 DIS: Sebanyak 27,103 pasang kasut dan selipar tiruan pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1.3 juta dirampas dalam serbuan berasingan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, hari ini.

Ketua Seksyen Siasatan KPDNHEP Putrajaya, Shamsul Nizam Khalil berkata, operasi serbuan bermula pada jam 11.30 pagi semalam dilakukan di Kawasan Perindustrian Menglembu dan Kawasan Perindustrian Chandan Raya di sini selepas risikan selama dua minggu di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas premis yang terlibat mendapati tempat tersebut adalah tempat mengilang dan pusat penyimpanan (stor) melibatkan pelbagai jenis selipar dan kasut jenama seperti Nike, Gucci, Puma, Levis dan Adidas yang disyaki tiruan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan di sini, hari ini.

Shamsul Nizam berkata, operasi dijalankan enam anggotanya, turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang dipercayai pemilik premis, dalam serbuan pertama untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kesemua barang rampasan yang dipercayai untuk dijual di Perak dan negeri-negeri di kawasan utara telah disita, dan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011.

“Premis yang memproses kasut tiruan dan barangan lain ini dipercayai telah beroperasi selama lima tahun dan kita sedang menyiasat sama ada aktiviti ini dilakukan individu atau sindiket, yang membekalkan barangan mentah untuk menghasikan barang tiruan,” katanya.

Katanya, bagi kesalahan di bawah akta itu, bagi perseorangan boleh dikenakan denda melebihi RM10,000 bagi setiap barangan yang diletakkan perihal dagangan palsu dan bagi perbadanan tidak melebihi 15,000 bagi setiap barangan.

– BERNAMA


Pengarang :