Ng Sze Han melakukan gimik perasmian pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor bagi Kutipan Sampah Domestik di MBSA di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 26 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

KDEBWM sedia 56 lori pemampat kutip sisa pepejal di MBSA

SHAH ALAM, 26 DIS: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) menyediakan 56 lori kompaktor (pemampat) baharu dan sebuah lori Armroll untuk menjalankan operasi kutipan sisa pepejal di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tahun depan.

Pengurus Besarnya, Ramli Tahir berkata kenderaan yang dilengkapi teknologi itu akan menyelesaikan isu lori uzur yang sering dihadapi subkontraktor.

“Pergerakan setiap lori pemampat ini akan dipantau melalui Sistem Pemantauan Kenderaan secara berpusat di Pusat Kawalan Berpusat (Centralized Command Centre) di ibu pejabat KDEBWM, Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor bagi Kutipan Sampah Domestik di kawasan pentadbiran MBSA di Dataran Kemerdekaan, di sini.

Hadir sama EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han; Timbalan Yang Dipertua MBSA, Mohd Rashidi Ruslan dan Pengerusi Lembaga Pengarah KDEBWM, Raja Shahreen Raja Othman.

Mulai 1 Januari 2020, KDEBWM akan mengambil alih kutipan sisa domestik di kawasan pentadbiran MBSA membabitkan 57 zon.

Sementara itu, Ramli berkata kerja kutipan pembersihan awam di kawasan itu pula dijangka akan diambil alih pada 1 Julai 2020.

“KDEBWM kini memiliki 1,000 unit lori pemampat yang digunapakai untuk operasi kutipan sampah domestik dan kerja pembersihan awam.

“Jumlah ini dijangka akan meningkat pada masa akan datang dengan pertambahan skop kerja pembersihan awam, pembersihan taman dan kutipan di kampung tradisi,” katanya.


Pengarang :