EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han memeriksa lori kompaktor pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor bagi kutipan sampah domestik di MBSA di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. 26 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

KDEBWM uruskan 7,000 tan sisa pepejal sehari

SHAH ALAM, 26 DIS: KDEB Waste Management (KDEBWM) dijangka berdepan pertambahan jumlah kutipan sisa pepejal kira-kira 2,000 tan sehari selepas mengambil alih kerja kutipan di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bermula 1 Januari 2020.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, faktor demografi penduduk yang padat di Shah Alam menyebabkan jumlah kutipan keseluruhannya boleh mencecah 7,000 tan sehari.

“Cabaran pertama adalah pertambahan jumlah sampah sisa pepejal. Ketika ini, purata jumlah tan sampah yang dikutip oleh KDEBWB di negeri ini sebanyak 5,200 tan sehari.

“Jumlah ini akan bertambah selepas pengambilalihan di MBSA dan mungkin akan meningkat ke 6,000 tan sehari. Pada masa akan datang dijangka jumlah itu akan terus meningkat kepada 7,000 tan sampah sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor Bagi Kutipan Sampah Domestik di kawasan pentadbiran MBSA di Dataran Kemerdekaan, di sini.

Hadir sama Timbalan Yang Dipertua MBSA, Mohd Rashidi Ruslan, Pengerusi Lembaga Pengarah KDEBWM, Raja Shahreen Raja Othman dan Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Tahir.

Sze Han berkata, KDEBWM juga bakal berdepan isu pembuangan sampah haram (illegal dumping) yang masih dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

“Justeru, saya menyeru semua pihak supaya bertindak secara kolektif bagi membenteras aktiviti tidak bertanggungjawab termasuk penguatkuasaan dan pemantauan dari masa ke masa bagi membendung kegiatan sampah haram ini,” katanya.

Bermula 1 Januari 2020, KDEBWM akan mengambil alih pengurusan sisa domestik di kawasan pentadbiran MBSA manakala kerja pembersihan awam dijangka diambil alih pada 1 Julai 2020.

KDEBWM juga melebarkan operasi bagi kutipan sampah industri di Majlis Daerah Kuala Langat, kutipan sampah di kampung tradisi Majlis Daerah Kuala Selangor dan pembersihan taman di Majlis Perbandaran Klang.

Ini sekali gus melengkapkan pengambilalihan pengurusan sisa pepejal oleh KDEBWM di seluruh Selangor.


Pengarang :