Sebahagian daripada 680 warga China yang ditahan dalam serbuan oleh imigresen di Cyberjaya pada 20 November 2019. Foto ihsan Jabatan Imigresen
AGENDANASIONAL

Kediaman warga China terlibat penipuan di Cyberjaya kosong

PUTRAJAYA, 9 DIS: Sebanyak 29 unit rumah di Cyberjaya yang disyaki menjadi tempat tinggal warga China yang terlibat dalam aktiviti dalam talian didapati sudah tidak berpenghuni, kata Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pemeriksaan JIM terhadap premis kediaman terbabit pada 7 Disember lalu adalah tindakan susulan bagi memburu mereka yang melarikan diri semasa operasi penahanan 680 warga China di Cyberjaya pada 20 November lalu.

“JIM percaya mereka sudah melarikan diri kerana semua unit kediaman berkenaan ditinggalkan kosong dan dalam keadaan berselerakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 20 November lalu, JIM menggempur sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya dan menahan 680 warga China manakala lebih 100 warga China melarikan diri ketika operasi itu.

Khairul Dzaimee berkata JIM akan terus melaksanakan operasi besar-besaran bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan pas oleh warga asing.

Katanya JIM Sabah pada 26 November berjaya menahan 104 warga China dan pada 29 November pula, JIM Sarawak berjaya menahan 52 warga China yang disyaki terlibat dalam aktiviti dalam talian.

“Semua warga China yang ditahan ini masih lagi dalam proses siasatan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :