Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador beramah mesra bersama peserta pada Majlis Penutup Perak International Skydiving Championship 2019 di Padang Polo, Ipoh pada 22 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kejohanan Payung Terjun Antarabangsa dimasukkan dalam program Hari Polis

IPOH, 23 DIS: Kejohanan Payung Terjun Antrabangsa Perak 2019 yang julung kali diadakan selama sembilan hari bermula 14 Disember lepas akan dimasukkan dalam program Hari Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun depan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan kejohanan sukan ekstrem itu mendapat penyertaan yang begitu memberansangkan daripada penggiat sukan payung terjun tempatan dan luar negara.

“Tahun hadapan kita juga akan menambah program yang boleh menjadi tarikan kepada pengunjung termasuk persembahan Pancaragam PDRM, Unit Berkuda PDRM dan Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM,” katanya semasa merasmikan penutupan kejohanan itu di sini, semalam.

Beliau berkata, kejohanan anjuran 69 Komando PDRM bersama kerajaan negeri Perak, Pasukan Gerakan Udara dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak itu turut menerima penyertaan daripada negara luar iaitu Indonesia, Korea dan Australia.

Katanya, sebahagian besar daripada kira-kira 100 penerjun yang menyertai kejohanan itu merupakan anggota badan beruniform yang masih berkhidmat dan juga veteran serta wanita.

“Terdapat peserta wanita dan veteran yang telah berusia turut menyertai kejohanan ini menunjukkan faktor umur dan jantina bukan penghalang untuk menceburi bidang sukan ekstrem berisiko tinggi ini yang menuntut kepantasan para penerjun bertindak dalam tempoh singkat dan jika tersalah percaturan atau tersilap langkah pastinya boleh mengundang padah,” katanya.

Abdul Hamid berkata, bagi kejohanan edisi pertama berkenaan, pasukan penerjun tempatan yang mengambil bahagian adalah daripada 69 Komando PDRM, Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Khas Udara (Paskau) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kerajaan Negeri Perak dan Kelab Sukan Payung Terjun Kenyalang.

Kejohanan bersempena sambutan ulang tahun Jubli Emas 69 Komando PDRM yang disambut pada 23 Oktober lepas itu menyaksikan pasukan dari Indonesia mendominasi acara-acara yang dipertandingkan.

Leftenan Kolonel Helmi Ardiyanto Nange daripada Pasukan Khas Angkatan Udara Indonesia berkata, kejohanan itu diharapkan diteruskan.

“Penganjuran kejohanan ini juga baik dan teratur. Pasukan kami pasti akan menyertainya lagi sekiranya ia dianjurkan pada tahun hadapan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :