Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Zamani Ahmad Mansor menyampaikan sumbangan Back To School anjuran Kelab Kebajikan Pembantu Operasi Pejabat SUK ketika program Kembali ke Sekolah Tahun 2020 di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 27 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kelab Kebajikan SUK Selangor sumbang 100 beg sekolah

SHAH ALAM, 27 DIS: Kelab Kebajikan Pembantu Operasi Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri dengan kerjasama Selcare Management Sdn Bhd menyumbangkan 100 beg sekolah dan kelengkapan alat tulis kepada kanak-kanak kelab terbabit.

Sumbangan itu disampaikan menerusi program Kembali Ke Sekolah Tahun 2020 yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Zamani Ahmad Mansor berkata, daripada jumlah itu, 16 Orang Asal dari Bukit Bandaraya turut menerima bantuan sama.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Zamani Ahmad Mansor bergambar bersama penerima selepas penyampaian sumbangan Back To School anjuran Kelab Kebajikan Pembantu Operasi Pejabat SUK ketika program “Kembali ke Sekolah Tahun 2020” di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 27 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Bantuan ini diharap dapat meringankan beban ahli kelab dan golongan kurang berkemampuan membuat persediaan persekolahan anak mereka.

“Peningkatan kos sara hidup akhir-akhir ini bukan alasan untuk kita mengabaikan pendidikan anak kerana mereka yang akan membentuk masa depan negara pada masa akan datang.

“Saya optimis dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat menceriakan kanak-kanak ini yang bakal memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi,” katanya ketika berucap merasmikan program Kembali Ke Sekolah Tahun 2020 di sini, hari ini.

Sementara itu, penerima, Mohd Faiz Zaqwan Mohd Faizal, 8, berkata, dengan sumbangan itu membuatkan dia semakin bersemangat dan tidak sabar untuk memulakan sesi persekolahan.

“Terima kasih di atas sumbangan ini dan saya bertekad untuk usaha lebih gigih supaya dapat membantu ibu bapa pada masa akan datang,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi saintis.

Manakala, penerima, Umaira Mohd Zaki, 9, berkata, dia berharap usaha murni Kerajaan Negeri ini diteruskan lagi pada masa akan datang.


Pengarang :