SEBAK … Kakak kepada Allahyarham Dr Rumihati Abdul Hamid iaitu (dari kiri) Taisah, Jeidah dan Zaiton sebak ketika ditemui di rumah keluarga mereka di Kampung Ulu Putatan di sini pada 7 Disember 2019. Dr Rumihati Abdul Hamid terkorban bersama suami dan anaknya dalam kemalangan di New Zealand pada jam 3.10 waktu tempatan 6 Disember. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Keluarga mangsa kemalangan di New Zealand diberi bantuan

KOTA KINABALU, 9 DIS: Bantuan sewajarnya akan disalurkan kepada ahli keluarga empat rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas jalan raya di New Zealand, pada Jumaat lepas, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas Datuk Uda Sulai.

Uda, yang juga Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah berkata, ia termasuk urusan jenazah empat beranak itu yang dijangka dikebumikan di Christchurch esok.

Beliau berkata perkara itu juga akan dimaklumkan kepada Ketua Menteri Sabah jika peruntukan khas diperlukan bagi membantu ahli keluarga tersebut.

“Saya cuba usahakan seberapa yang boleh daripada peruntukan ADUN, khasnya daripada eKasih yang dapat kita salurkan,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman keluarga mangsa di Kampung Ulu Putatan di sini, hari ini.

Kemalangan di State Highway 1, Kaikoura, New Zealand, pada Jumaat lepas itu mengakibatkan kematian pasangan suami isteri Dr Rumihati Abd Hamid, 49, dan Adanan Jemain, 49, serta anak kedua mereka, Maisarah Arifah, 13, manakala dua lagi cedera parah.

Bagaimanapun, seorang daripada anak mangsa yang parah, Nur Irfan, 15, yang juga anak sulung pasangan suami isteri itu, disahkan meninggal dunia pada 6.30 petang waktu tempatan (1.30 tengah hari waktu Malaysia) semalam.

-BERNAMA


Pengarang :