Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik beramah mesra bersama murid-murid selepas merasmikan Program Kembali Ke Sekolah dan melancarkan Telefon Awam Baru Helogang “My Smart ID” untuk pelajar di Dewan SMK Simpang Renggam pada 15 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kementerian Pendidikan siap sedia hadapi banjir

KLUANG, 15 DIS: Kementerian Pendidikan bersiap sedia untuk memastikan sesi pembukaan persekolahan bulan hadapan tidak terjejas dengan bencana banjir.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, ini kerana kementerian mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam menghadapi situasi itu jika banjir berlarutan sehingga Januari.

“Pejabat Pendidikan Daerah memiliki SOP mereka sendiri dalam menghadapi banjir. Mereka bersiap siaga setiap tahun. Sekiranya terjadi, kita akan ikut SOP biasa,” katanya kepada pemberita pada program Kembali ke Sekolah dan pelancaran Telefon Awam Baharu Helogang di Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Renggam di sini, hari ini.

Maszlee mengulas mengenai persediaan kementerian untuk menghadapi musim banjir di Johor dan negeri lain yang dijangka berlarutan hingga Januari.

Hampir semua daerah di negeri ini telah dilanda banjir sejak dua hari lepas, mengakibatkan lebih 4,000 mangsa terpaksa dipindahkan ke 1,217 pusat pemindahan sementara. Banjir turut dilaporkan berlaku di Pahang.

Sementara itu, program ‘Back To School’ anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu menyediakan barangan kelengkapan persekolahan kepada 600 orang pelajar di kawasan Simpang Renggam dengan peruntukan sebanyak RM97,000.

Secara keseluruhan, sebanyak RM634,400 diperuntukkan oleh PTPTN bagi menjayakan program itu di seluruh negara.

– BERNAMA


Pengarang :