AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kempen pelancongan tidak memuaskan punca hutang tertunggak

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Sejumlah RM107.1 juta hutang melibatkan kempen pengiklanan promosi pelancongan sejak tiga tahun lepas masih tertunggak, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 2018.

Ia merupakan antara penemuan Audit yang dijalankan pada November 2018 hingga Mac lepas (2019) yang mendapati hutang tertunggak itu berlaku kerana Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) melaksanakan kempen pengiklanan tidak dirancang dan perolehan tanpa peruntukan.

“Pada pendapat Audit, pengurusan kewangan bagi program promosi LPPM adalah tidak memuaskan kerana perbelanjaan yang dibuat pada 2016 dan 2017 melebihi peruntukan berjumlah RM56.59 juta.

“Seterusnya perbelanjaan tidak diuruskan dengan cekap dan teratur menyebabkan berlaku hutang tertunggak, selain pelanggaran prosedur kewangan dan tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap pegawai yang bertanggungjawab,” menurut laporan itu yang dikeluarkan hari ini.

Menurut laporan itu, ketidakpatuhan kepada proses kerja perolehan dan pelanggaran prosedur kewangan dalam melaksana kempen pengiklanan menyebabkan LPPM menghadapi tunggakan hutang serius dan menjadi beban kepada kerajaan kerana setakat Jun lepas, LPPM masih belum dapat menjelaskan hutang itu kepada pembekal.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyasarkan 30 juta pelancong antarabangsa menjelang tahun depan sekali gus mewujudkan sebanyak 497,000 peluang pekerjaan.

Menurut laporan itu, pencapaian ketibaan dan pendapatan pelancong antarabangsa berdasarkan sasaran ditetapkan kurang memuaskan kerana berlaku penurunan setiap tahun sehingga menyebabkan Malaysia tidak dapat mengekalkan kedudukan 10 teratas di peringkat Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO) sejak 2012 hingga tahun lepas.

Semakan Audit terhadap data ketibaan pelancong LPPM mendapati bilangan ketibaan pelancong pada tiga tahun lepas menurun antara 570,000 (2.2 peratus) hingga 5.85 juta (18.4 peratus) daripada sasaran tahunan ditetapkan.

“Ketidakcapaian sasaran ketibaan dan pendapatan pelancong antarabangsa antaranya adalah disebabkan LPPM tidak melaksanakan program promosi yang dirancang. Sebaliknya, LPPM melaksanakan program yang tidak dirancang.

“Seterusnya 37.8 peratus hingga 69.1 peratus peruntukan diterima dalam tempoh 2016 hingga 2018 digunakan untuk bayaran tertunggak program promosi. Selain itu, kempen pengiklanan berbentuk tematik di Jepun kurang berkesan dan masih belum dapat meningkatkan bilangan ketibaan pelancong walaupun telah dilaksanakan sejak 2011,” menurut laporan itu.

Analisis Audit turut mendapati penyediaan jumlah pulangan pelaburan (ROI) dan Laporan Keberkesanan Program yang kurang lengkap atau tidak disediakan serta ketiadaan indikator pengukuran bilangan ketibaan pelancong telah menjejaskan penilaian terhadap pulangan pelaburan bagi program promosi.

Selain itu, laporan itu mendapati wujudnya kelemahan kawalan dalaman yang serius dalam pelaksanaan sistem ‘Electronic Travel Registration & Information’ (eNTRI) dengan sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) semasa pemprosesan keluar masuk pelancong di pintu masuk.

“Pihak Audit juga berpendapat pengurusan pihak JIM dan kawalan dalaman di pintu masuk adalah kurang cekap kerana pengesahan data kemasukan pelancong secara manual dan sistem ‘offline’ tidak dikemas kini ke sistem MyIMMs mengakibatkan data apungan sebanyak 1.56 juta dalam tempoh 2016 hingga 2018,” menurut laporan itu.

Secara keseluruhan, laporan ketua audit itu merumuskan bahawa program promosi dilaksanakan kurang berkesan selain kelemahan tadbir urus pengurusan, kewangan dan perolehan menyebabkan perbelanjaan melebihi peruntukan, hutang tertunggak dan pelaksanaan program promosi terjejas.

Justeru, laporan itu mengesyorkan kementerian perlu menyelaras dan memantau aktiviti promosi pelancongan semua agensi di bawah seliaannya bagi memastikan peruntukan yang diterima digunakan sepenuhnya mengikut rancangan agar hasil program tercapai.

Laporan itu turut mengesyorkan LPPM perlu melaksanakan urus tadbir baik dalam pengurusan dan kewangan dengan mematuhi peraturan kewangan yang berkuat kuasa dan melaksanakan program mengikut peruntukan diluluskan

“JIM perlu memperketatkan kawalan dalaman keluar masuk pelancong di bawah Program Pengecualian VISA dalam sistem eNTRI dan MyIMMs agar maklumat pelancong lengkap dan kemas kini demi keselamatan negara,” tambah laporan itu.

– BERNAMA


Pengarang :