Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan janji teruskan pembentukan Malaysia Baharu

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Sempena tahun 2020, kerajaan berjanji untuk meneruskan perjuangan ke arah pembentukan Malaysia Baharu yang diidamkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya 2019 adalah tahun yang mencabar bagi kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) yang melalui fasa baharu pentadbiran, justeru pada 2020 beliau menyeru semua pihak bersama-sama menumpukan kepada usaha positif untuk rakyat.

“Tahun 2020, pasangan yang tidak memiliki cahaya mata boleh mengeluarkan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), untuk rawatan kesuburan in-vitro (IVF) sehingga RM10,000.

“Tahun 2020 juga seorang suami yang penyayang, dapat menunjukkan penghargaan kepada isteri dengan menyumbang caruman dua peratus KWSP, daripada akaun suami ke akaun isteri,” katanya dalam perutusan tahun baru 2020 hari ini.

Selain itu Wan Azizah berkata tahun 2020 juga bakal menyaksikan kerajaan memperkenal Strategi Keselamatan Siber Kebangsaan untuk pengurusan keselamatan siber dan jenayah siber, demi perlindungan rakyat, serta memperuntukkan RM10 juta, untuk pembangunan atlet wanita.

Manakala katanya, wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun yang berhenti bekerja selama setahun atau lebih dan kembali bekerja, akan diberi insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan, manakala majikan pula akan diberi insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan, dalam tempoh sama.

“Ini adalah antara langkah kerajaan yang dapat dinikmati pada tahun depan. Selain itu, kita juga berjanji untuk terus menentang rasuah pada 2020,” katanya sambil mengucapkan selamat tahun baru kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sementara itu Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menyeru rakyat Malaysia, supaya terus mempertahankan keharmonian serta kerukunan negara dan tidak membiarkan ia dirosakkan pihak tertentu yang berfahaman sempit, dengan menggunakan isu perkauman dan agama demi kepentingan politik mereka.

“Seharusnya persaingan antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, ialah dalam membuat kebaikan dan saling mengangkat kehidupan masyarakat ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Beliau juga menasihatkan ahli AMANAH supaya terus menjadikan integriti sebagai panduan, dalam setiap urusan dan jadikan 2020 sebagai tahun untuk terus bekerja keras, bagi memastikan kehidupan semua rakyat Malaysia akan menjadi lebih baik.

“Kita mengalu-alukan segala kritikan membina yang diberikan, agar kerajaan dapat memperbaiki segala kelemahan. Akhir kata saya ingin mengucapkan selamat tahun baru kepada semua,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :