AGENDANASIONAL

Kerajaan senarai 19 barangan kawalan harga sempena Krismas

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan 19 jenis barangan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2019 berkuat kuasa dari 22 hingga 31 Disember ini.

Timbalan Menteri berkenaan, Chong Chieng Jen berkata jenis barangan tahun ini meningkat berbanding 16 jenis barangan sebelum ini, di samping skim itu akan dilaksana selama 10 hari melibatkan tiga hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan enam hari selepas perayaan berbanding lima hari pelaksanaannya tahun lalu.

Beliau berkata skim tersebut akan dilaksana di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Kementerian telah mengenal pasti pertambahan barangan melibatkan cili merah, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing) dan ubi kentang import (China).

“Kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, sayuran, daging kambing dan daging babi,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen di sini hari ini

Penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan kawalan harga yang lebih berkesan untuk memastikan harga berpatutan bagi manfaat pengguna dan peniaga.

Perincian barangan terlibat ialah:

1. Ayam hidup

2. Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya)

3. Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal)

4. Ayam tua hidup (*Harga maksimum di Sarawak sahaja)

5. Ayam belanda import

6. Kepak Ayam (*Harga maksimum di Sabah, Sarawak & Labuan sahaja)

7. Daging kambing tempatan bertulang (*Harga maksimum di Semenanjung sahaja)

8. Daging kambing import bertulang atau biri-biri import bertulang .

9. Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji)

10. Telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji)

11. Telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji)

12. Ubi kentang import (China)

13. Kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing)

14. Cili merah

15. Tomato

16. Lada benggala hijau

17. Babi hidup (Kawalan diperingkat ladang sahaja)

18. Daging babi (perut) (*Harga maksimum di Sabah, Sarawak & Labuan sahaja)

19. Daging babi (daging dan lemak) (*Harga maksimum di Sabah, Sarawak & Labuan sahaja)

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian akan bertindak tegas terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim tersebut mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Pengguna boleh menyalurkan aduan kepada Kementerian ini melalui Portal [email protected], Call Centre 1800 886 800, emel [email protected], aplikasi telefon pintar Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245 / 6088, talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC) Whatsapp ke 019- 279 4317 atau melaporkan ke mana-mana 73 pejabat KPDNHEP di seluruh negara.

-BERNAMA


Pengarang :