AGENSISELANGOR

Kerja-kerja pulihkan bekalan air diteruskan

SHAH ALAM, 22 DIS: Indah Water Konsortium (IWK), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan beberapa agensi berkaitan masih giat menjalankan kerja-kerja pembersihan lurang kumbahan berhampiran Loji Rawatan Kumbahan (LRK) yang menyebabkan pencemaran bau.

Bagaimanapun, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan berkata, sehingga jam 6.30 pagi ini, pencemaran bau berada di paras 3 ton menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih belum boleh dioperasikan sehingga bacaan mencapai paras 0 ton iaitu tiada langsung kesan pencemaran bau.

Dalam perkembangan lain, LRA Bukit Tampoi yang juga menerima sumber air mentah dari Sungai Semenyih turut dihenti tugas pada jam 3.30 petang semalam.

Kata kenyataan itu, ekoran henti tugas di kedua-dua loji itu telah mengakibatkan 366 kawasan dan 336,930 jumlah akaun terjejas meningkat daripada jumlah yang dinyatakan semalam.

Kawasan-kawasan yang terjejas berikutan penutupan LRA Bukit Tampoi melibatkan daerah Kuala Langat. Antara kawasan tersebut ialah Kampung Bukit Changgang Kilang ISF, Taman Arked Dengkil,Kompleks Perabot Olak, Taman Changgang Lempit dan Kampung Orang Asli di Bukit Bakong.

Bantuan bekalan air kecemasan terus dipergiatkan dan lori-lori tangki digerakkan ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada pengguna dan premis kritikal seperti hospital.

Selain itu, kata kenyataan itu, 11 Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan pili-pili awam masih meneruskan operasinya 24 jam.

Katanya, Air Selangor menjangkakan tempoh masa pemulihan gangguan bekalan air akan mengambil sedikit masa.

“Namun segala tindakan perlu sedang dilakukan bagi mempercepatkan proses pemulihan bekalan selepas loji kembali beroperasi.

“Ini termasuk menyediakan bantuan bagi mengurangkan kesulitan pengguna berikutan insiden ini,” kata kenyataan itu.

Bagi mendapat maklumat lanjut mengenai masalah itu, orang ramai boleh menggunakan aplikasi telefon bimbit Air Selangor, Facebook dan Instagram Air Selangor, atau layari laman sesawang www.airselangor.com.


Pengarang :