AGENDANASIONAL

Kertas Putih Pertahanan turut fokus veteran ATM

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Kertas Putih Pertahanan yang dibentangkan di Parlimen semalam antara lain turut menfokuskan kepada usaha menghasilkan karier kedua kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas mereka bersara daripada perkhidmatan kelak.

Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong berkata pengalaman yang ada pada anggota tersebut sepanjang perkhidmatan dengan ATM dapat menyumbang kepada ekonomi negara.

“Namun, tanggungjawab ini bukan hanya perlu dilaksanakan oleh kerajaan sahaja, tetapi harus dipikul bersama pihak swasta,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Dewan Rakyat semalam meluluskan usul Kertas Putih Pertahanan yang menggariskan dua peranan ATM melibatkan peranan utama dan sekunder setelah sesi perbahasan disertai 13 ahli Parlimen.

Ia menjadi hala tuju strategik pertahanan negara untuk tempoh 2020 hingga 2030 bagi melindungi kepentingan negara dan mempertahan kedaulatan serta keutuhan wilayah.

Chin Tong berkata pembentangan kertas putih itu juga bertujuan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam perkhidmatan ATM.

“Rombakan atau reformasi terhadap industri pertahanan ini juga diharap satu medium yang boleh mewujudkan pekerjaan bukan sahaja kepada veteran tetapi juga orang awam,” katanya.

Sementara itu, Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata pelbagai pihak termasuk ATM, pembuat dasar dan pihak universiti berganding bahu menyiapkan kertas putih yang menyeluruh itu.

“Ini adalah kertas putih pertama yang dibahaskan di Parlimen, jadi ini adalah kertas rakyat Malaysia. Bagaimanapun, kini tugas lebih berat di mana kita harus fokus bagaimana mahu mempertahan negara berdasarkan hak kita,” katanya.

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jen Tan Sri Affendi Buang pula berkata kertas putih itu dapat membantu negara merangka keperluan setiap perkhidmatan termasuk peralatan keselamatan dan aset pertahanan.

Katanya, ia sekali gus dapat merancang keupayaan sektor pertahanan negara untuk jangka panjang.

“Rancangan ini boleh digunakan untuk tempoh 20 hingga 30 tahun kerana aset yang kita jangka untuk guna perlu kekal dan mudah untuk dinaik taraf dan tidak melibatkan kos yang membebankan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :