Operasi pembersihan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang dilakukan pada 17 Mac 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kes Sungai Kim Kim: Hakim lawat lokasi kilang kitar semula tayar terpakai

JOHOR BAHRU, 4 DIS: Prosiding hari kedua perbicaraan kes pembuangan sisa toksik ke dalam Sungai Kim Kim bermula dengan Hakim Mahkamah Sesyen Wan Mohd Norisham Wan Yaakob hari ini melawat kilang kitar semula tayar terpakai di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, di sini, yang dikaitkan dengan insiden pencemaran Sungai Kim Kim, Mac lepas.

Wan Mohd Norisham tiba di kilang tersebut kira-kira 10 pagi bersama beberapa pihak berkepentingan dalam kes itu termasuk Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Muhammad Syafiq Mohd Ghazali, TPR Jabatan Alam Sekitar (JAS) Putrajaya Nor Azura Jumuddin serta saksi pertama pendakwaan, Pegawai Kanan Kawalan Alam Sekitar Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang memegang gelaran sebagai Ketua Cawangan JAS Muar, Mohd Nazir Mansor.

Turut hadir, peguam G. Subramaniam Nair yang mewakili pengarah syarikat kilang kitar semula tayar terpakai itu, Wang Jing Chao, warga Singapura, dan Yap Loke Liang, peguam S. Ratakrishna yang mewakili pemandu lori syarikat, N. Maridass serta peguam Joshua Tay yang mewakili seorang lagi pengarah syarikat, Sim Wei Der, juga warga Singapura.

Saksi kedua pendakwaan, Ketua Penolong Pengarah Kanan di Seksyen Penilaian dan Pembangunan, Bahagian Bahan Berbahaya JAS Putrajaya, Ir Azlan Ahmad, dilihat turut hadir.

Kesemua mereka diberikan penerangan dan gambaran sebenar berhubung peralatan yang digunakan di kilang tersebut untuk proses mengitar semula tayar terpakai berkenaan oleh Mohd Nazir, selama kira-kira 45 minit.

Mereka kemudian menuju ke tiga lokasi lain di sekitar Pasir Gudang merangkumi dua kawasan iaitu lokasi Maridass meletakkan kenderaannya dan Sungai Kim Kim yang dikaitkan sebagai tempat pelupusan barangan terjadual iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak.

Esok perbicaraan di hadapan Wan Mohd Norisham di Mahkamah Sesyen, di sini, bersambung semula selepas perbicaraan kes tersebut dimulakan semalam.

Maridass, 35, didakwa melupuskan buangan terjadual iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak ke Sungai Kim Kim, dengan menggunakan lori dan semi trailer tangki sawit, tanpa kelulusan Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Wang, 34, Yap, 36, dan Sim, 50, pula didakwa bersubahat dengan Maridass untuk melupuskan barangan terjadual itu ke dalam Sungai Kim Kim menggunakan kenderaan terbabit.

Keempat-empat mereka didakwa melakukan perbuatan itu antara 12.01 tengah malam hingga 1 pagi, 7 Mac lepas di kawasan tapak projek pelebaran jambatan Sungai Kim Kim.

Maridass didakwa mengikut Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 34 B(4) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun selain denda RM500,000 jika sabit kesalahan.

Wang, Yap dan Sim pula didakwa di bawah Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dibaca bersama Seksyen 42 akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34B(3) akta sama iaitu dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak melebihi RM500,000.

Selain berdepan pertuduhan itu, Wang, Yap dan Sim turut dikenakan 15 lagi pertuduhan masing-masing di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, akta yang sama.

Pertuduhan itu adalah kerana gagal membuat pemberitahuan mengenai buangan terjadual dan gagal menjalankan pemantauan berkala seperti ditetapkan mengikut akta itu.

-BERNAMA


Pengarang :