Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM: Penjual susu henti iklan palsu

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi amaran kepada semua penjual atau ejen produk makanan supaya menghentikan pengiklanan yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM memandang serius penjualan dan pengiklanan produk seperti produk susu tertentu yang membuat akuan yang dilarang dan tular di media elektronik, media sosial, serta media cetak.

“Pernyataan seperti membantu merendahkan tekanan darah tinggi, membantu membuang toksik daripada badan, meningkatkan metabolisme, mengawal selia pengeluaran insulin dan pergerakan oksigen, mengurangkan obesiti dan sebagainya adalah dilarang pada label dan iklan produk makanan.

“KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah mengambil tindakan ke atas pihak yang mengedar atau menjual produk makanan tersebut yang tidak mematuhi mana-mana perundangan berkaitan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Seksyen 17 Akta Makanan 1983 menetapkan larangan ke atas sesuatu iklan makanan termasuk perkara-perkara yang dilarang pada label dan pernyataan yang boleh memperdayakan pengguna.

Selain itu, katanya Peraturan 18(6), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menyatakan bahawa label makanan tidak boleh mengandungi akuan kesihatan seperti mencegah, mengurang, merawat dan menyembuhkan sesuatu penyakit.

“Kegagalan mematuhi mana-mana peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya.

Beliau berkata, pada masa yang sama pihaknya dari semasa ke semasa turut melakukan ​​​​​operasi bagi memastikan pematuhan produk makanan ke atas Akta Makanan 1983.

“Menerusi satu operasi khas Oktober lalu, sebanyak 506 premis makanan telah diperiksa dan sebanyak 2,135 produk makanan bernilai RM60,494.53 telah disita.

“Sejumlah 47 notis turut dikeluarkan dengan keseluruhan nilai kompaun RM113,500.00 kepada pemilik premis makanan yang gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, selain itu KKM turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta pentadbir laman sosial seperti Facebook dan Instagram untuk menyekat akses kepada laman sesawang dan laman sosial setiap produk makanan yang didapati tidak mematuhi akta berkenaan.

“Sehingga kini, sejumlah 103 laman web dan laman sosial telah disekat,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :