Zuraida Kamaruddin pada majlis Perasmian Komuniti Hab di Flat Taman Dagang Fasa 2A, Ampang pada 14 Disember 2019.
AGENSISELANGOR

Komuniti Hab erat interaksi sosial kejiranan

OLEH ALIFF HAIKAL

AMPANG, 17 DIS: Lebih 200 penghuni Flat Taman Dagang di sini menyertai projek Komuniti Hab bagi mengeratkan interaksi sosial dalam kalangan kejiranan tersebut pada 14 Disember lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, inisiatif itu adalah landasan untuk golongan B40 membina komuniti sihat selaras dengan Dasar Komuniti Negara dan Agenda Mampan 2030.

Katanya, program itu mendapat sokongan penuh daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi sama-sama menghubungkan komuniti yang tinggal di kejiranan tersebut.

“Komuniti Hab anjuran Urbanice Malaysia ini telah memberikan penekanan utama khususnya kepada komuniti B40 yang tinggal di kawasan bandar.

“Ia dibina dengan mengguna kontena yang diubah suai untuk menjadi ruang pelbagai guna yang dilengkapi dengan ruang bacaan dan perpustakaan mini,” katanya di Majlis Perasmian Komuniti Hub Flat Taman Dagang Fasa 2A di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Yang Dipertua MPAJ, Dato’ Abd Hamid Hussain.

Bagaimanapun, katanya, projek Komuniti Hab ini akan dibina mengikut keperluan penghuni di kawasan masing-masing.

Zuraida berkata, bagi mengurangkan kos menjaga Komuniti Hab ini, beberapa elemen khas digunakan seperti penggunaan tenaga Solar PV dan mengumpul air hujan bagi tujuan pembersihan di kawasan komuniti itu.

Selain itu, katanya, kewujudan Komuniti Hab ini juga bagi memastikan nilai Bandar dan Komuniti Lestari dapat dicapai di peringkat komuniti.


Pengarang :