Penulis Buku, Datin Dr. Norely Abd Rahman berucap sempena Majlis Pelancaran Buku Perjalanan Tahun Pertama Saya, dari penyampai berita TV ke Tengku Permaisuri Selangor” (My First Year Journey, from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor An Anecdotal Experience) di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

Kongsi cerita puji, caci bergelar Tengku Permaisuri

SHAH ALAM, 16 DIS: Cerita disebalik pujian dan cacian yang mungkin tidak diketahui oleh rakyat antara kisah dikongsi dalam buku “Perjalanan Tahun Pertama Saya, dari penyampai berita TV ke Tengku Permaisuri Selangor pengalaman anekdotal” (My First Year Journey, from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor An Anecdotal Experience).

Penulisnya, Datin Dr Norely Abd Rahman berkata, menerusi buku kulit keras itu, beliau berkongsi pengalaman peribadi Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permasuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Katanya, idea untuk menulis itu timbul apabila beliau merasakan Tengku Permaisuri yang juga adiknya kini menjadi idola kepada rakyat Malaysia khususnya Selangor.

“Saya terfikir kenapa tidak saya menulis kisah adik sendiri dan ketika itu baginda menyambut ulang tahun perkahwinan yang pertama pada Ogos 2017.

“Kemudian, saya menghubungi baginda dan baginda terkejut. Kenapa kisahnya? saya jelaskan apabila menjadi idola pastinya rakyat mahu tahu apa kisah disebalik gelaran itu,” katanya.

Dr Norely berkata, beliau sangat berterima kasih kepada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana membantunya menyiapkan buku ini khususnya membabitkan bahasa dan adat istiadat istana.

“Tengku Permaisuri juga seorang yang sangat teliti, baginda menyemak semua fakta setiap satu bab yang siap ditulis.

“Kita tahu zaman media sosial ini, orang menulis macam-macam. Ada puji ada yang caci. Jadi, saya mahu mereka tahu apa yang berlaku disebalik gelaran Permaisuri ini,” katanya.

Naskhah berhalaman 133 muka surat itu dicetak 1,500 buah sahaja dan sebahagian hasil jualan akan disumbangkan kepada Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor.

Beliau berkata, buku berkenaan boleh dibeli menerusi laman sosial rasmi Facebook dan Instagram ‘Selangor Royal Official’.

Dijual pada harga RM160, buku berbahasa Inggeris itu adalah edisi khas dan bergantung kepada perkenan Sultan Selangor jika ia akan ditambah keluarannya.

“Buku kisah perjalanan hidup seorang Permaisuri yang lahirnya sebagai seorang rakyat jelata adalah sebuah naskhah dan pastinya memberi inspirasi semua pembaca,” katanya.

Dr Norely, 50, adalah kakak sulung kepada Tengku Permaisuri Norashikin.


Pengarang :