AGENDANASIONAL

KPDNHEP mahu tingkat kecekapan penghantaran e-dagang

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (MTKSHN) berhasrat mempertingkatkan aspek kecekapan sistem penghantaran e-dagang dalam usaha mengurangkan kos berkaitan perniagaan.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kecekapan sistem penghantaran ​​​itu penting kerana platform e-dagang berupaya memintas rantaian perniagaan konvensional yang biasanya melibatkan kos gaji pekerja, utiliti dan penghantaran tinggi.

“Kita seharusnya memanfaatkan teknologi yang ada sekarang iaitu e-dagang untuk meningkatkan kecekapan (sistem penghantaran) kerana kita lihat aspek ini termasuk dalam salah satu penguasaan teknologi maklumat.

“Bayangkan jika barangan mudah rosak seperti ikan dan sayur boleh kita buka platform e-Dagang, sudah tentu kecekapan penghantaran itu yang paling penting (bagi menjaga kualiti barangan itu),” katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif: Pencapaian KPDNHEP Sepanjang Tahun 2019 yang disiarkan secara langsung di TV1, malam tadi.

Beliau berkata KPDNHEP ingin mengikuti jejak langkah sebuah syarikat e-dagang China iaitu JD.com yang menggunakan sistem penghantaran pintar seperti robot dan dron dalam urusan perniagaan mereka.

Menerusi program berdurasi 60 minit itu, Saifuddin turut mengupas mengenai pencapaian kementerian itu sepanjang tahun ini, antaranya Program Food Bank yang memanfaatkan 400,000 isi rumah dan juga inisiatif pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 yang memberi faedah kepada lebih 900,000 pengguna pengangkutan awam.

Beliau berkata antara paling membanggakan ialah hampir tidak kedengaran keluhan dan rungutan yang serius daripada pengguna melibatkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

“Hal itu berikutan hampir kesemua peniaga patuh dengan harga telah kita tetapkan sempena musim perayaan…tahap kepatuhan itu tinggi jadi pengguna rasa lega.

“Sebelum ini jumlah hari yang kita tetapkan untuk SHMMP ialah 51 hari, namun kita naikkan kepada 102 hari kerana kita dapati tahap kepatuhan peniaga yang amat positif,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :