Azman Adam memantau barangan keperluan sekolah ketika Program Back To School dan Pemeriksaan Harga Barangan Sekolah KPDNHEP pada 26 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KPDNHEP pantau harga barangan keperluan sekolah

SEMENYIH, 26 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memantau harga barangan keperluan sekolah di 254 premis di seluruh negara, setakat semalam.

Timbalan Pengarah Penguat kuasa Pencegahannya, Azman Adam berkata pemantauan itu membabitkan 3,030 barangan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya langkah itu bertujuan menyekat dan mengelakkan kenaikan harga berterusan dan pengambilan keuntungan yang tidak munasabah.

“Setakat ini, kita sudah mengeluarkan 220 notis kepada peniaga di seluruh negara kerana ada antara mereka mengenakan harga mengelirukan.

“Kita turut memberikan peniaga ini lima hari untuk memberi jawapan terhadap notis terbabit,” katanya ketika ditemui pada Pemeriksaan Harga Pakaian dan Barangan Sekolah 2019 di Pasaraya Mydin Semenyih di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Penguat kuasa Selangor, Azizan Abdullah.

Azman berkata pemeriksaan pro aktif itu sudah dilaksanakan di seluruh negara bermula 18 Disember lalu hingga 3 Januari tahun hadapan.

Beliau berkata KPDNHEP akan mengenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan denda RM50,000 bagi kesalahan pertama, RM100,000 kesalahan kedua atau lima tahun penjara atau kedua-keduanya sekali.

“Namun, sekiranya ia perusahaan diperbadankan kita akan mengenakan denda antara RM100,000 hingga RM250,000.

“Pada masa sama, kita mahu memastikan mereka mematuhi undang-undang dan pengguna dapat menikmati harga yang sepatutnya,” katanya.

Seramai 20 penguat kuasa KPDNHEP Selangor dan Putrajaya melaksanakan pemeriksaan harga barangan sekolah membabitkan baju kurung, baju kemeja lengan pendek dan lengan panjang, kain baju kurung sekolah rendah dan menengah, seluar panjang sekolah rendah dan menengah, tudung sekolah, kasut sekolah dan stoking sekolah.


Pengarang :