Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
AGENDANASIONAL

KPLB sasar ramai usahawan wanita berdaftar dengan SSM

SEPANG, 29 DIS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) meletakkan sasaran 50 peratus usahawan wanita berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tahun depan berbanding 24 peratus setakat ini.

Menterinya Datuk Seri Rina Harun berkata ketika ini hampir 84,000 usahawan wanita berdaftar dengan KPLB, dan hanya 24 peratus daripadanya yang telah berdaftar dengan SSM.

Beliau berkata ada kalangan usahawan wanita ini yang enggan mendaftar dengan SSM kerana khuatir apabila berbuat demikian, mereka tidak lagi akan menerima bantuan.

“Jadi minda mereka ini harus dibuka, supaya mereka dapat berniaga lebih jauh lagi,” katanya selepas merasmikan program Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) peringkat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) negeri Selangor, di sini hari ini.

Menurutnya kesedaran harus ditingkatkan di kalangan usahawan wanita supaya mereka menjadi usahawan yang berjaya, malah sehingga mencapai status jutawan, dan bukan fokus kepada pendapatan hanya sekitar RM100 sebulan.

Sementara itu Rina berkata tahun hadapan KPLB akan berusaha mempromosi produk-produk seni kraftangan berbentuk anyaman dan tekat, yang sudah wujud di Malaysia sejak sekian lama namun tidak diperkasakan.

Beliau berkata ini kerana seni kraftangan ini mendapat permintaan khususnya di platform e-dagang, dan beliau seterusnya menyeru supaya lebih ramai wanita dilatih untuk mempromosi seni kraftangan ini.

-BERNAMA


Pengarang :