AGENDA NASIONAL

KTMB catat kerugian hampir RM3 bilion hingga Disember 2018

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 2018 mendapati kerugian terkumpul Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sehingga 31 Disember 2018 berjumlah RM2.829 bilion.

Ia penemuan Audit yang mendapati kerugian itu antaranya kerana KTMB masih belum bebas sepenuhnya untuk membuat keputusan terutamanya berkaitan operasi syarikat dan penggunaan aset.

Ia masih terikat dengan empat entiti (Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Perbadanan Aset Keretapi & Agensi Pengangkutan Awam Darat) dalam model pengurusannya.

“Ini secara tidak langsung menyumbang kepada kedudukan kewangan yang kurang stabil kerana kebergantungan KTMB sepenuhnya hanya kepada hasil tambang rel.

“Selain itu, KTMB terikat dengan dasar semasa kerajaan terutama dalam penentuan kadar tambang rel,” menurut laporan yang dikeluarkan hari ini.

Bagi Prestasi Aktiviti Perkhidmatan Tren pula, laporan Audit mendapati dua aktiviti utama iaitu tren antarabandar dan komuter merekodkan kerugian berjumlah antara RM39.82 juta hingga RM77.76 juta bagi tempoh tahun 2016 hingga Julai 2019.

Aktiviti perkhidmatan tren komuter menyumbang pendapatan tertinggi KTMB dari tahun 2015 hingga 2017, namun masih merekodkan kerugian selepas mengambil kira belanja operasinya, menurut laporan itu.

Selain itu, Audit mendapati wujud kelemahan dalam prestasi dan pelaksanaan aktiviti perkhidmatan tren komuter seperti prestasi bilangan penumpang dan hasil tren komuter belum mencapai tahap kecekapan yang disasarkan.

“Pencapaian sebenar bilangan penumpang serta hasil menunjukkan penurunan sejak tahun 2016 hingga bulan Julai 2019. Kelemahan lain berpunca daripada projek Klang Valley Electrified Double Track (KVDT) yang lewat disiapkan.

“Ini mengganggu urusan harian penumpang (74.2 peratus) dan ada penumpang yang bertukar kepada mod pengangkutan lain (62.6 peratus).

“Selain itu, tempoh menunggu tren komuter paling lama direkodkan adalah sehingga 256 minit (4 jam 16 minit) berbanding 45 minit yang ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Penyenggaraan set tren komuter kurang cekap bagi kategori tiga dan enam gerabak kerana tidak disenggara mengikut jadual serta kontrak penyenggaraan yang belum dimuktamadkan,” menurut laporan itu.

Audit juga mendapati wujud kelemahan signifikan dalam sistem tiket baharu kerana terdapat 36,860 aduan mulai bulan Disember 2016 hingga Julai 2019 yang mana sistem tiket baharu ini juga didapati tidak cekap kerana melaporkan terimaan hasil yang berbeza.

Laporan Audit juga mendapati secara keseluruhannya, berdasarkan skop pengauditan, dapat dirumuskan bahawa objektif penubuhan KTMB melalui pengkorporatan KTM belum dapat dicapai sepenuhnya.

Bagaimanapun, laporan itu mendapati, amalan tadbir urus korporat KTMB adalah memuaskan namun penambahbaikan perlu dilaksanakan dalam aspek Setiausaha Syarikat, SOP serta Pelan Strategik Perniagaan dan Petunjuk Prestasi Utama selaras dengan amalan terbaik.

Justeru, Audit telah memberikan beberapa syor antaranya model pengurusan KTMB sebagai syarikat korporat dikaji semula supaya tidak terhad untuk membuat keputusan operasi selaras dengan objektif penswastaan KTM.

Syor lain adalah KTMB perlu memastikan projek KVDT dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan dan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan bagi memastikan tiada lagi berlaku kelewatan dan mengelakkan kerugian yang berterusan bagi aktiviti perkhidmatan tren komuter.

-BERNAMA


Pengarang :