AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kutipan SST sehingga Oktober lalu RM22.6 bilion

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Jumlah kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang direkodkan bagi tempoh awal tahun ini sehingga Oktober lepas adalah RM22.6 bilion, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.

Beliau berkata, hasil kutipan cukai itu telah melepasi sasaran yang ditetapkan bagi 2019 iaitu RM21 bilion.

“Ini sudah melepasi sasaran awal kita. Memang menjadi hasrat kita untuk memastikan ekonomi terus berkembang. Ramai berniaga dalam skala besar, (justeru) (jumlah) mereka yang membayar cukai terutama cukai perniagaan juga akan meningkat.

“Secara tidak langsung akan tingkatkan sumber pendapatan negara,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Kewangan 2019 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

SST diperkenalkan semula pada 1 September 2018 bagi menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan. Perundangan SST diwartakan pada 26 Ogos 2018.

Mengenai pengecualian cukai pendapatan, Amiruddin berkata, potongan sebanyak 10 peratus akan diberikan kepada mana-mana syarikat yang menderma secara tunai kepada mana-mana tabung pembinaan rumah ibadat atau tabung pengurusan rumah ibadat yang diluluskan mengikut Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Mereka layak mendapat potongan cukai 10 peratus daripada pendapatan agregat syarikat dengan syarat hendaklah dibuktikan dengan resit,” katanya.

RUU Kewangan 2019 kemudiannya diluluskan oleh Dewan Rakyat selepas bacaan kali ketiga.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

– BERNAMA


Pengarang :