Faisal Tehrani membaca laporan penjurian dalam Majlis Anugerah Hadiah Sastera Selangor 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMABUDAYAPILIHAN MINGGUANRENCANA

Laporan juri Hadiah Sastera Selangor 2019

SelangorKini terus menjadi wadah sasterawan khususnya golongan muda untuk menyampaikan karya mereka. Lebih 500 karya diterima tahun ini termasuk dari luar negara.

Seramai sembilan ahli panel menilai lebih 100 karya yang diterbitkan dalam tiga kategori iaitu cerpen, sajak dan esei.

Berikut adalah rumusan penilaian panel juri Hadiah Sastera Selangor 2019 yang disediakan oleh ketua juri, Faisal Tehrani. 

Cerpen

Penganjur menyerahkan 42 cerpen kepada juri untuk dibaca, dinilai dan disaring bagi mencari pemenang utama dan empat lagi hadiah penghargaan.

Cerpen-cerpen itu dari segi gubahannya hampir sama iaitu memberi penekanan kepada aspek bentuk dan struktur cerpen (eksperimental), membawa mood urban-kontemporari, melagakan kerangka falsafah atau menukangi cerita tentang aspek pengkaryaan itu sendiri.

Namun demikian, juri bersependapat mutu karya merosot berbanding tahun lalu kerana secara umum kebanyakan karya kurang masak ideanya. Satu hal yang kekal aneh buat tahun ketiga berturut-turut, juri mengesani banyak cerpen menampilkan kucing sebagai props, watak, subjek dan alat alegori pada tahun ini.

Suatu keunikan karya-karya di SelangorKini ialah pengarang ralit bermain dengan pendekatan absurd seperti yang ternampak dalam karya tahun-tahun 1980-an. Seperti tahun lalu, kritikan sosial ini kadang-kala dihadirkan terlalu berlambang dan pengarang terbawa-bawa bermain dengannya sehingga tujuan utama yang ingin dikemukakan tercapah. Terdapat juga sejumlah cerpen dengan pendekatan satira yang agak memikat, segar dan menonjol.  Jumlah cerpen realisme adalah kecil manakala cerpen-cerpen Islami pula gubahannya terlalu simplistik.

Juri berpendapat sesetengah cerpen masih memiliki kelemahan yang rata-rata sama iaitu idea yang kurang diperam. Sebuah cerpen yang baik juga perlu utuh dari segi rukun dan imbangan komponen karya. Malangnya, terdapat cerpen yang begitu baik tetapi disebabkan penghujungnya meleret dan lewah, ia dialahkan oleh cerpen-cerpen lain yang lebih sederhana tanpa kecuaian dan kelemahan ketara. Secara keseluruhannya, yang membezakan kualiti karya tahun ini antara satu sama lain ialah usaha penulis memanipulasi teknik dan strategi penceritaan; selain penggunaan bahasa yang rapi dan kukuh.

Antara 42 karya; pengarang di SelangorKini ternyata peduli realiti dan masalah zaman meskipun suara karyawan itu kadang-kala hadir dengan nada pesimistik.  Antara isu hari ini yang terangkat adalah polisi pemerintah Malaysia Baharu, pedofil, sikap putus asa terhadap parti-parti politik, penderaan anak-anak, keganasan rumah tangga, pembangunan tidak terancang dan di celah-celah itu terdapat pula karya dengan tema cinta antara dua darjat dan pertembungan aneka gagasan falsafah. Satu dua cerpen dengan gaya cereka Islami menambah rencah saingan Hadiah Sastera Selangor kali ini. Cerpen-cerpen juga dipengaruhi medium seni lain khususnya filem, anime, muzik dan catan.

Seperti tahun-tahun terdahulu, cerpenis di SelangorKini menikmati medan udara bersih untuk bersuara berikutan campur tangan editor adalah minimal dan pengarang tidak terikat dengan nilai moral atau stail rumah penerbitan tertentu.

Setelah berbincang, juri menyenarai 12 cerpen untuk dibahaskan dari semua sudut. Karya-karya tersebut adalah “Keanehan yang membakar”, “Perempuan yang tidak ada”, “Bergayutan keresahan di kelopak mata”, “Kotak Haji Amin”, “Pasta kasanova”, “Percakapan ketika mandi”, “Macaca Nemestrina”, “Pasca percintaan”, “Kerusifiksyen: Tentang mengarang cereka di atas kerusi”, “Hari itu, politik cuti sakit”, “Lili” dan “Untuk serasi, kau tak perlukan wajah yang molek”.

Dato’ Seri Amirudin Shari bersama sebahagian pemenang Hadiah Sastera Selangor 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Proses saringan kedua untuk senarai pendek karya terpaksa dilakukan secara undian memandangkan kecenderungan, kerangka pilihan dan cita rasa juri berbeza. Harus dinyatakan, majoriti juri tidak membaca karya itu ketika ia diterbitkan. Mereka tidak mengenali pengarang-pengarang tersebut. Justeru, juri tidak dipengaruhi oleh gaya penulisan, mazhab kepengarangan, gender ataupun kaum.

Setelah perbincangan mendalam, panel juri memutuskan untuk memilih “Pasca percintaan” sebagai penerima pemenang utama. Hadiah-hadiah penghargaan pula diberi kepada pengarang cerpen “Kerusifiksyen: Tentang mengarang cereka di atas kerusi”, “Hari itu, politik cuti sakit”, “Lili”, “Untuk serasi kau tak perlukan wajah yang molek”.

Cerpen “Pasca percintaan” adalah karya satira yang mengisahkan polisi larangan merokok di tempat awam. Juri merasakan tujuan karya itu  dapat dikesani. Penghujung karya sendiri adalah sebuah permulaan untuk sebuah karya seni yang lain. Pengarang juga menampilkan simbol yang menarik iaitu watak rokok yang dihadirkan berasa terancam oleh watak pemetik api, femme fatale, seorang perempuan pemusnah. Sebagai cerpen mikro atau mini, cerpen tersebut memiliki isu yang dapat dipegang, olahan yang baik, dan subjek cerpen tersebut berjaya diketengahkan dalam jumlah perkataan terhad.

Saingan rapat cerpen “Pasca percintaan” adalah “Kerusifiksyen: Tentang mengarang cereka di atas kerusi”. Cerpen itu kuat dari segi pemilihan kata-kata dan pengarang berjaya menguasai bentuk. Ia mengisahkan watak pengarang yang berada dalam dilema ketika berkarya. Namun, karya itu terkesan terlalu abstrak dan meletakkan majoriti juri dalam keadaan meraba-raba akan sebab-musabab ia ditukangi.

“Hari itu, politik cuti sakit” mendapat perhatian juri kerana ia sebuah satira yang boleh dihubungkan dengan isu semasa iaitu sikap sesetengah generasi muda yang menjauhi politik dan non-partisan. Selain merakam sejarah pilihan raya yang mengejutkan keputusannya pada 2018, penceritaannya lancar dan mengalir. Cerpen itu meskipun tampil sederhana tetapi menyerlah berbanding karya lain kerana semua komponen cerpen adalah berimbangan dan tidak terlihat kelemahan ketara.

Sebuah cerpen lain yang juga tidak ada kelemahan ketara adalah “Lili” yang mengingatkan juri kepada cerpen “Kucing non-partisan”, karya tahun lalu. “Lili” mengisahkan seekor anak kucing yang mati muda, kemudian mengalami penjelmaan semula dalam bentuk wanita yang menonjol. Cerpen itu menarik kerana terdapat elemen kejutan iaitu terselit misteri yang sesungguhnya mesti ada pada setiap cerpen mikro. Karya tersebut juga dihiasi pemilihan kata yang segar dan cukup visual.

Cerpen terakhir adalah “Untuk serasi, kau tak perlukan wajah yang molek”. Ia mengisahkan pertanyaan mengenai tradisi oleh seorang watak yang adiknya melangkah bendul. Seperti cerpen-cerpen penghargaan lain, karya itu diolah sederhana dan tidak menampakkan mana-mana aspek kecacatan ketara.

 Esei

 Secara umum, penyertaan pada tahun ini menunjukkan peningkatan. Pertama, dari segi jumlah terdapat 20 penyertaan esei diterima untuk dinilai. Kedua, dari segi kualiti juga terdapat peningkatan dari tahun lalu. Akan tetapi, peningkatan tersebut, kadar perbezaannya agak kecil.

Juri mendapati masih terdapat banyak kelemahan yang dilakukan penulis esei. Secara ringkas, kelemahan yang dapat dilihat pada esei-esei yang dinilai pada tahun ini adalah: Penulis masih sangat terikat dengan ‘rukun’ penghasilan esei seperti yang difatwakan di sekolah. Misalnya, setiap tulisan wajib ada pembukaan/intro, diikuti isi pertama, isi kedua dan seterusnya, dan penutup. Ini menjadikan esei kaku, dan tidak menarik manakala dari segi penutup, esei yang sampai kepada juri gagal memberikan penyelesaian atau kesimpulan mengenai apa yang ingin disampaikan.

Selain itu, terdapat juga kelemahan dari segi lewah dan syok sendiri. Hal ini sangat ketara pada beberapa esei. Misalnya, hal yang mudah sengaja disusahkan. Penjelasan yang lurus sengaja dibengkang-bengkokkan konon untuk menjadikan ia tulisan yang berseni. Lebih malang, ada penulis yang terasa seperti bijak apabila menggunakan beberapa perkataan yang langka tetapi malangnya ia terasa dipaksa-paksa, dan membawa maksud yang ‘sesat’. Tidak dapat dikesan kesatuan idea yang mantap. Kebanyakan penulis cenderung bersandar kepada nama-nama tertentu dan petikan-petikan tertentu. Dalam sesetengah keadaan, ia dirasakan tidak relevan.

Satu hal lain ialah pengarang esei masih tertumpu kepada ulasan filem, buku, atau karya seseorang dan ia mungkin tidak memberi manfaat yang banyak kepada pembaca, kecuali segelintir kecil. Ada beberapa esei juga menulis tentang majlis seni/budaya sedangkan ia sepatutnya esei yang berbentuk semasa dan menyentuh kepentingan majoriti masyarakat.

Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani sampel muka depan buku Si Pena yang menghimpun karya pemenang Hadiah Sastera Selangor. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Harus diingat, sesuatu esei ditulis dengan sebab dan keperluan. Ia sepatutnya membawa bersama gagasan atau idea baru dan segar. Dalam erti kata lain maklumat yang ingin disampaikan wajar dapat dikongsi dengan pembaca. Pembaca memperoleh sesuatu selepas selesai membaca, bukannya terkapai-kapai mencari apa yang ingin disampaikan penulis.

Dalam pada itu, juri juga mendapati terdapat esei yang menarik untuk penerbitan tetapi kurang sesuai untuk dinilai. Misalnya, esei berbentuk transkripsi. Pun begitu ada beberapa peningkatan yang menarik pada esei yang dinilai. Misalnya, esei yang menjadi pemenang utama membawa idea yang segar dan kontemporari namun masih berakarkan tradisi.

Penulis yang terpilih sebagai pemenang juga berjaya menyampaikan gagasan dengan jelas, lancar dan sesekali bersahaja. Ia menjadikan tulisan mereka tidak menjemukan.

Sebagai cadangan, juri berpendapat SelangorKini wajar mencari jalan untuk menggalakkan lebih ramai penulis menghantar esei berkualiti. Mereka juga perlu difahamkan bahawa ulasan yang diperlukan bukanlah semata-mata mengenai buku, filem, sastera dalam bentuk yang jumud.

Esei yang diperlukan ialah tulisan mengenai hal-hal seni atau budaya yang segar dan semasa. Ia perlu mengikut perubahan dan bukan lagi berkisar mengenai misalnya – A Samad Said, Usman Awang, WS Rendra, Mohd Affandi Hassan semata-mata. Juri menggesa penulis agar berani keluar dari kepompong yang telah lama mengikat mereka.

Setelah perbincangan mendalam, kami memilih esei “Evolusi peribahasa, dari unsur alam ke teknologi” sebagai pemenang utama manakala hadiah penghargaan pula ialah “Kompleksiti Cinderella kental dalam novel popular”,

“Disiplin kritikan dan sikap penulis”, “Realisme magis dalam pencerekaan Azrin Fauzi ” dan “Menukang puisi tidak semudah bermain domino”.

Sajak

Sebanyak 44 sajak dikemukakan kepada untuk dinilai bagi tahun ini. Lima karya yang terpilih menjadi pemenang dipilih daripada 17 sajak yang disenarai pendek.

Mutu sajak pada tahun ini umumnya baik tanpa ada sajak yang terlalu lemah seperti tahun lalu. Jurang antara karya yang bagus dan tidak bagus juga tidak terlalu jauh. Barangkali ini menunjukkan SelangorKini berjaya menarik lebih banyak pengkarya yang tekun menulis sajak.

“Sajak untuk sebuah Mei” dipilih sebagai pemenang utama atas pertimbangan kekuatan seni, wacana, pengucapan dan pemilihan kata yang segar, spontan dan tidak dipaksa-paksa, gagasan yang jelas dan penggunaan perlambangan yang menarik serta tidak klise. Pemilihan ungkapan yang segar dan bermakna, misalnya ditemukan pada bahagian ini yang menghasilkan pengalaman membaca yang segar: “… dan kita pun mengukir arca; buat mengenang poster dan pamflet; tanda yang terbangun dari impi anak manusia”.

Sajak itu mencabar daya imaginasi dan pemikiran dengan ungkapan yang mempunyai daya kejut. Penggunaan perlambangan yang segar juga menjadikan sajak ini terkehadapan berbanding sajak lain. Gaya penceritaan sajak pula dapat dinikmati menerusi jalinan diksi yang cermat tetapi terasa bersahaja.

Empat sajak lain yang diberi hadiah penghargaan iaitu “Catatan yang direnyuk ke dalam kasut seorang politikus”, “Hujan, bagimu bau. Dan bagiku pemuzik yang menukik kepalaku”, “Kemarau di hujung waktu” dan “Perempuan, sihirku” mempunyai kekuatan setara dengan menawarkan nilai puisi yang tidak kurang tingginya.

Rata-rata puisi mempunyai kekuatan tersendiri dengan menampilkan kepelbagaian tema dan kawalan bahasa dan diksi yang tersusun baik. Suatu perkara yang menarik perhatian ialah kebanyakan sajak mempamer kemampuan penyajak untuk meluahkan gejolak rasa terhadap perkembangan sosial dan politik semasa secara matang menerusi persembahan yang halus dan berseni.

Setelah perbincangan yang melelahkan, juri memutuskan “Sajak untuk sebuah Mei” sebagai pemenang utama manakala hadiah penghargaan pula ialah “Catatan yang direnyuk ke dalam kasut seorang politikus”, “Hujan, bagimu bau. Dan bagiku pemuzik yang menukik kepalaku”, “Kemarau di hujung waktu” dan “Perempuan, sihirku”

 Rumusan

Panel juri ingin memberikan kredit kepada SelangorKini, kerajaan negeri Selangor dan editor yang bertungkus-lumus membangunkan karya sastera, fiksi dan non fiksi tanpa sebarang prejudis. Juri juga bersepakat menganjurkan SelangorKini untuk terus mengasuh pengarang-pengarang sedia ada dengan program berbentuk bengkel agar kualiti kerja para sasterawan masa hadapan semakin membaik.

Semoga usaha berterusan ini akan terus diberi perhatian dan sokongan.

 

Ketua juri:  Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani)

Panel: Wan Nor Azriq Wan Mokhtar, Sayidah Mu’izzah Kamarul Shukri, Al-Mustaqeem Mahmod Radhi, Jimadie Shah Othman, Rozlan Mohamed Noor, Al-Abror Mohd Yusuf, Noor Azam Shairi dan Ku Seman Ku Hussain


Pengarang :