Remaja Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin.
AGENDAJENAYAH

Laporan lengkap bedah siasat Nora Anne belum diperoleh

SEREMBAN, 18 DIS: Laporan lengkap bedah siasat remaja Ireland Nora Anne Quoirin, 15, masih belum diperoleh, kata Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop.

Laporan berkenaan kemungkinan akan diperolehi dalam masa terdekat, katanya ketika dihubungi Bernama.

“Selain laporan lengkap bedah siasat, pihak polis juga masih menunggu laporan daripada Jabatan Kimia. Siasatan polis (kes kematian remaja itu) masih lagi SDR (kematian mengejut), ” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan keluarga Nora Anne yang mendakwa ada unsur jenayah dalam kematian anak mereka ketika ditemu ramah media antarabangsa, semalam.

Dalam temu ramah itu, Meabh Jaseprine Quoirin dan suaminya Sebastian Marie Philipe memberitahu stesen penyiaran RTE, Ireland mereka mahu mencari kebenaran dan keadilan untuk anak mereka itu.

Mengulas lanjut Mohamad berkata, permohonan inkues oleh keluarga Nora Anne terhadap kes berkenaan hanya akan diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara.

Nora Anne bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort The Dusun Pantai Hill, Pantai, dekat sini pada 3 Ogos, sehari sebelum remaja itu dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya.

Mayat remaja itu ditemukan pada 13 Ogos lepas, iaitu 10 hari selepas kehilangannya oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat dalam keadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, sekitar 2.5 km daripada eko-resort itu.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja perempuan itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

-BERNAMA


Pengarang :