Pesawah di Sekinchan melakukan penanaman padi. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 100,000 pesawah layak terima subsidi selepas proses pemutihan

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Sebanyak 106,560 pesawah layak menerima Skim Subsidi dan Insentif Pesawah Bagi Meningkatkan Bekalan Beras Negara selepas proses pemutihan data mereka setakat ini, berbanding 112,942 yang direkodkan sebelum ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata data berkenaan diperoleh selepas mengambil kira faktor pesawah yang telah meninggal dunia dan rekod tidak dijumpai.

Katanya, hasil semakan mendapati antara masalah yang berlaku adalah disebabkan pertukaran nama pemilik tanah kepada pewaris berikutan terdapat tanah yang mempunyai lebih daripada seorang penama.

“Di antaranya adalah masalah bagaimana kebun atau bendang itu diwariskan kepada anak, mungkin selepas dia uzur atau meninggal dunia, dan kadang-kadang satu geran kecil tapi (mempunyai) banyak nama” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau berkata proses pemutihan data pesawah atau penerima itu dilaksanakan oleh Jawatankuasa Penapis di peringkat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang dilakukan pada setiap musim penanaman.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara Siri 2, 2018 yang dikeluarkan pada 2 Disember, terdapat pesawah yang sudah meninggal dunia 40 tahun lalu menjadi antara 7,061 individu yang dikesan masih tersenarai sebagai penerima Skim Subsidi dan Insentif Pesawah Bagi Meningkatkan Bekalan Beras Negara.

Laporan itu turut mendedahkan ia mengesan antara 3,210 hingga 7,061 pesawah sudah meninggal dunia masih menerima subsidi dan insentif setiap musim berjumlah RM57.92 juta.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata berdasarkan hasil pemutihan data pesawah itu, didapati 94,512 pesawah masih hidup manakala dalam data pesawah yang menunjukkan 11,712 telah meninggal dunia dan selepas proses pemutihan data hanya 7,788 orang didaftarkan semula.

Bagi rekod tidak dijumpai pula, sebanyak 4,260 orang didaftarkan selepas proses pemutihan data berbanding 6,718 orang sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata kementerian berkenaan akan turut sama memantau keadaan banjir yang berlaku di kebanyakan negeri ketika ini bagi memastikan sekiranya ada golongan petani yang terjejas.

Katanya sekiranya ada, pegawai yang bertanggungjawab di kementerian itu akan membuat semakan agar bantuan dapat diberikan berdasarkan jumlah mangsa banjir dan nilai kehilangan hasil.

“Saya telah minta pegawai untuk ‘check’, jika ada aduan mereka (pegawai) akan rekodkan. Kita kena check betul-betul jumlah mangsa yang terjejas dan nilai hasil yang hilang, kita akan bantu,” ujarnya.

Setakat pagi ini, situasi banjir di beberapa kawasan di Johor dan Pahang tidak banyak berubah dengan sembilan mangsa di Johor dipindahkan menjadikan jumlah terkini 5,367 orang daripada 1,466 keluarga berbanding malam tadi (5,358 orang).

Di Pahang pula, jumlah mangsa banjir di Temerloh, Bera dan Rompin tidak berubah dengan 1,049 orang daripada 268 keluarga masih berada di 13 pusat penempatan sementara di tiga daerah itu.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca waspada dengan jangkaan hujan lebat berlarutan di seluruh Kelantan dan Terengganu serta beberapa daerah di Pahang dan Sabah pada hari ini sehingga esok.

-BERNAMA


Pengarang :