Pemandangan dari udara menampakkan kawasan rumah di sekitar Kota Tinggi yang terjejas akibat banjir ketika tinjauan Jabatan Bomba dan Penyelamat pada 16 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Lebih 3,000 mangsa banjir masih berada di pusat pemindahan

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Lebih 3,000 mangsa banjir masih berada di pusat-pusat pemindahan sementara di Kelantan, Johor, Pahang dan Sabah pagi ini.

Keadaan banjir di Johor dan Pahang semakin pulih hari ini, manakala di Kelantan dan Sabah bertahan dengan paras air di kebanyakan sungai utama berada pada paras normal.

Kelantan mencatat jumlah mangsa paling ramai dengan 2,029 orang membabitkan 715 keluarga, Johor 810 orang daripada 196 keluarga, Pahang 318 orang daripada 89 keluarga dan Sabah 489 orang daripada 168 keluarga.

Di Kelantan, keadaan cuaca pagi ini mendung dan bilangan mangsa banjir yang dipindahkan meningkat sedikit berbanding 1,941 orang daripada 675 keluarga malam tadi.

Aplikasi InfoBencanaJKM menunjukkan seramai 1,847 mangsa daripada 665 keluarga berada di 12 pusat pemindahan di Pasir Mas manakala 182 mangsa membabitkan 50 keluarga di dua pusat pemindahan di Jeli.

Laman web ebanjir.kelantan.gov.my menunjukkan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas masih melepasi paras bahaya pada bacaan 10.18 meter (bahaya 9 meter) manakala Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat melepasi paras amaran iaitu 2.48 meter (amaran 2.15 meter).

Di Johor, kesemua mangsa banjir di negeri ini ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara di tiga daerah iaitu Kluang, Batu Pahat dan Segamat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon menerusi kenyataan berkata, Segamat merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 577 orang di 11 pusat pemindahan sementara.

Mereka merupakan penduduk dari Jalan Kolam Air, Kampung Balai Badang, Kampung Batu Badak, Pogoh, Kampung Spang Loi, Kampung Tandong, Kampung Padang Kiambang, Kuala Paya, Kampung Sanglang serta Kampung Bukit Tunggal.

Beliau berkata, satu pusat pemindahan sementara masih dibuka di Kluang menempatkan 180 mangsa, iaitu penduduk Kampung Sungai Linau dekat Simpang Renggam manakala dua pusat pemindahan di Batu Pahat menempatkan 53 orang penduduk dari Parit Sulong dan Kampung Peserai Lama, dekat Semerah.

Di Pahang, keadaan banjir di negeri itu hampir pulih dengan hanya daerah Termerloh masih terjejas dan seramai 318 orang daripada 89 keluarga berada di dua pusat pemindahan sementara.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan setakat 8 pagi, pusat pemindahan yang masih beroperasi ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Kapor yang menempatkan 283 orang daripada 79 keluarga dan SK Bukit Cermin (35 orang dari 10 keluarga).

Di Sabah, kawasan-kawasan yang terlibat banjir ialah Beaufort, Membakut dan Tenom, dan sehingga 8 pagi ini seramai 402 orang dari 142 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Beaufort dan Membakut manakala 87 orang dari 26 keluarga ditempatkan di tiga pusat di Tenom.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sabah dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa di Beaufort dan Membakut ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Selagon manakala tiga pusat di Tenom ialah Rumah Kebudayaan Mandalom Lama, Dewan Sri Antanom dan Rumah Kebudayaan Batu-Batu.

PPS di Dewan Selagon, Beaufort dibuka pada 6.15 petang, Khamis selepas lebih 10 kampung di Beaufort dan 20 kampung di Membakut terjejas berikutan hujan berterusan di kawasan berkenaan.

Beberapa jalan menghubungkan kampung terlibat turut terjejas dan tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.

– BERNAMA


Pengarang :