AGENSISELANGOR

Lepasan AMD di FAS boleh sambung pengajian di UiTM, UNISEL

SHAH ALAM, 28 DIS: Pemain lepasan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang menyertai Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bukan sahaja berpeluang mengembangkan karier sebagai pemain bola sepak profesional semata-mata.

Sebaliknya, Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, pelatih terbabit juga boleh melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi di Selangor berikutan Memorandum Persefahaman (MoU) yang wujud antara FAS dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak tahun lalu.

“FAS telah tandatangani MoU dengan UiTM termasuk perkembangan akademi juga kita ada bincangkan.

“Kita masih ada masa lagi kerana pengambilan pelajar seterusnya biasanya berlangsung pada bulan September,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Johan berkata, selain UiTM, FAS juga akan menjalin kerjasama dengan Universiti Selangor (UNISEL) untuk melanjutkan pelajaran pemain muda berkelayakkan.

Johan yakin kerjasama antara FAS dan UNISEL mampu direalisasikan berikutan status UNISEL sebagai institusi pengajian tinggi swasta milik Kerajaan Negeri.

“Insya Allah tiada masalah kerjasama dengan UNISEL, lebih-lebih lagi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sentiasa memberi sokongan padu terhadap usaha FAS termasuk meningkatkan pencapaian pemain dalam padang dan juga akademi,” katanya.


Pengarang :