Selangorkini
AGENDA SUKANKINI

Liga Malaysia 2020 buka tirai 28 Februari

SHAH ALAM, 13 DIS: Tirai Liga Malaysia 2020 akan dibuka pada 28 Februari hadapan dengan perlawanan Piala Sumbangsih yang menemukan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juara Piala FA, Kedah di Stadium Sultan Ibrahim, Larkin.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan memaklumkan, prosedur rapi serta proses Economic Control Programme (ECP) menjadi faktor Liga Malaysia musim 2020 bermula pada tarikh berkenaan.

Katanya proses dan prosedur ECP mengambil masa sebulan kerana langkah itu sebagai usaha menangani masalah kewangan pasukan khususnya hutang dan tunggakan gaji pemain.

“Kesemua pasukan harus menyerahkan bajet kepada MFL sebelum tarikh tutup pada 15 Disember ini bagi MFL mengenal pasti atau mengesahkan kos sebenar skuad utama mereka yang dibenarkan pada 15 Januari tahun depan.

“Kemudian barulah pasukan dibenarkan untuk mendaftarkan pemain sebaik jendela perpindahan pertama Liga Malaysia dibuka pada 16 Januari hingga 15 Mac tahun depan.

“Jadi proses dan prosedur ECP ini harus dipatuhi setiap pasukan Liga Malaysia dan menyaksikan saingan bermula pada 28 Februari tahun depan bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik,” katanya.

Sejumlah 12 pasukan Liga Super dan 12 pasukan Liga Premier akan berentap memburu kejuaraan musim ini yang bakal berakhir pada 19 Julai 2020.

Namun, Liga Malaysia bagi musim 2021 dijangka bermula lebih awal berikutan setiap pasukan dikehendaki menyerahkan bajet kewangan pasukan utama pada 31 Oktober 2020 dan keputusan kelulusan struktur kewangan mereka diumum pada 30 November 2020.


Pengarang :