Ng Sze Han meninjau Kampung Bagan Hailam, Pelabuhan Klang yang sedang dibersihkan KDEBWM pada 8 Disember 2019.
AGENSISELANGOR

Lima hari, lapan tan metrik sampah dikutip KDEBWM

PELABUHAN KLANG, 8 DIS: Sebanyak lapan tan metrik sampah berjaya dikutip KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) dalam tempoh lima hari menerusi projek ‘Breath New Life’, di Kampung Bagan Hailam, di sini.

Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berkata, jumlah itu dijangka meningkat selepas tiga bulan pelaksanaan pengurusan kutipan sampah di kampung atas air berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya berdepan kesukaran untuk melaksanakan kerja pembersihan ekoran kedudukan kampung berkenaan yang terletak berhampiran muara pantai.

“Walaupun proses pembersihan dan kutipan sampah ini agak rumit, namun kita perlu melaksanakan sebaiknya dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana dibimbangi menjadi semakin teruk.

“Justeru, bagi memudahkan kerja pembersihan dan pengorekan sampah, kita terpaksa menggunakan jentera khas (amphibious excavator),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak dan pemantauan projek ‘Breath New Life’ To Bagan Hailam, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han dan beberapa wakil NGO berkaitan alam sekitar antaranya Persatuan Life Line Malaysia, Jalan-Jalan Klang, Great Heart serta Little Giraffe Story House.

Pada masa sama, Ramli optimis keadaan persekitaran Kampung Bagan Hailam akan bertambah bersih selepas kerja-kerja pembersihan itu selesai dilakukan menerusi kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) termasuk pembabitan aktif komuniti setempat.

“Bagi mengindahkan lagi kawasan ini, kita turut memotong pokok-pokok yang sudah reput, selain menyediakan 10 hingga 15 pekerja pembersihan setiap hari untuk melaksanakan kerja ini.

“Manakala, setiap enam minggu sekali kita akan menggunakan khidmat lebih 30 pekerja pembersihan bagi menjalankan program berskala besar memandangkan kerja seperti ini sangat rumit, kotor dan berisiko tinggi.

“Penduduk juga boleh memaklumkan kepada kita sekiranya memerlukan tambahan tong `leach bin’  untuk diletakkan di kampung ini,” katanya.

Kampung Bagan Hailam yang terletak di pesisir Port Klang didiami lebih 100 keluarga termasuk penduduk tempatan dan warga asing.


Pengarang :