AGENDANASIONAL

LPP mahu JPS ditempatkan semula bawah MoA

BUKIT MERTAJAM, 29 DIS: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) meminta kerajaan meletakkan semula Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA), bagi mengelakkan masalah saliran dan perparitan terutamanya di kawasan tanaman padi berulang.

Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, sebahagian besar aktiviti yang berkait dengan JPS melibatkan kawasan pertanian dan sepatutnya jabatan itu diletakkan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, supaya masalah sistem saliran dan perparitan di kawasan pertanian dapat ditangani dengan lebih mudah.

Menurutnya, baru-baru ini terdapat beberapa Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) terjejas, apabila kawasan sawah padi menjadi kering dan merekah, disebabkan bekalan air yang tidak mencukupi terutamanya pada musim kemarau, berikutan sistem pengairan yang tidak sempurna.

“Saya sudah pun meninjau di kawasan terlibat iaitu di PPK Jejawi dan PPK Paya di Perlis semalam, di mana kira-kira 400 hektar sawah padi terjejas. Kes yang hampir sama telah berlaku di Kelantan beberapa bulan lalu. Isunya di sini ialah sistem pengairan yang tidak mampu mengatasi masalah (bekalan air) apabila berlakunya kemarau yang panjang.

“Trend di kedua-dua negeri ini nampak sama, jadi saya mencadangkan supaya JPS yang kini terletak di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli diletakkan kembali di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,” katanya pada sidang media selepas program ‘Back To School’ LPP Pulau Pinang, di sini semalam.

Mazlan berkata, setiap kali timbulnya masalah saliran dan perparitan di kawasan pertanian pihaknya tidak boleh mengeluarkan sebarang arahan kepada JPS, sebaliknya hanya mampu menjemput wakil JPS untuk memberikan taklimat sahaja.

Beliau berkata, sudah tiba masanya pembangunan tempat tadahan air dibina di kawasan empangan yang tidak mempunyai bekalan air, yang mencukupi terutamanya pada musim kemarau.

“Bila kita bina kawasan tadahan air, ia mampu membekalkan air ke kawasan pertanian padi jika berlakunya musim kemarau yang panjang. Selain itu, saya hendak sarankan supaya kenal pasti kawasan untuk membina ‘tube well’ atau ‘boring’ di kawasan empangan, yang fungsinya sama untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan sumber air ke kawasan tanaman padi.

“Selain itu, bagi menghadapi musim kemarau parit-parit sepatutnya diselenggara dengan baik termasuk pam-pam…sedikit sebanyak ia dapat mengawal kerosakan yang akan menjejaskan tanaman pertanian itu sendiri. Itu saranan saya,” katanya.

Terdahulu, Mazlan menyampaikan baucar bernilai RM100 seorang kepada 100 daripada 271 anak-anak ahli LPP Pulau Pinang yang disumbangkan oleh Agrobank selaku penaja.

“Baki 171 penerima boleh mengambil baucar tersebut di PPK masing-masing yang meliputi PPK Bukit Mertajam, PPK Sungai Cheenam, PPK Seri Pulau dan PPK Sungai Acheh,” kata Mazlan.

– BERNAMA


Pengarang :