BERITA UTAMASELANGOR

LRA Sungai Semenyih, Bukit Tampoi belum dapat beroperasi

SHAH ALAM, 23 DIS: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Sungai BukitTampoi belum dapat beroperasi pagi ini kerana kadar pencemaran bau yang dicatatkan masih berada di paras 1 ton.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan pagi ini berkata, semua pihak termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Lembaga Urus Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar, Indah Water Konsortium dan Majlis Perbandaran Kajang sedang berusaha memulihkan masalah pencemaran bau tersebut sehingga mencapai paras 0 ton.

“Hujan lebat pada petang semalam dan diharap dapat mempercepatkan proses pencairan pencemaran bau tidak membantu,” kata kenyataan itu.

Kata kenyataan itu, berdasarkan bacaan pada jam 11 pagi semalam, kadar pencemaran telah turun ke paras 1 ton namun pemantauan yang dilakukan sehingga jam 6 pagi ini didapati kadar pencemaran bau masih kekal di paras 1 ton dan adakalanya naik ke 2 ton.

Sehubungan itu, katanya, Air Selangor belum dapat memulakan pengoperasian LRA Sungai Semenyih dan juga LRA Bukit Tampoi pada pagi ini.

Katanya, pengoperasian semula kedua-dua LRA itu hanya akan diaktifkan selepas masalah pencemaran bau itu mencapai tahap kekal 0 ton.

“Ini bagi mengelakkan sebarang insiden bau yang tidak diingini pada air terawat di kedua-dua LRA itu dan seterusnya sampai kepada pengguna,” katanya.

Katanya, Air Selangor, memahami kesulitan yang dihadapi pengguna dan amat kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab pihak yang mencemarkan sungai sehingga memberikan kesulitan kepada semua pihak terutama 336,930 pengguna air di empat wilayah.

“Air Selangor sedang melakukan segala usaha bagi menyalurkan bantuan bekalan kecemasan berterusan melalui lori-lori tangki air, edaran botol air minum, pengaktifan pusat khidmat setempat dan pili awam yang akan beroperasi 24 jam sehari,” katanya.

Katanya, Air Selangor akan mengemas kini status dari semasa ke semasa serta jangka masa pemulihan sejurus loji kembali beroperasi.

Bagi maklumat lanjut, orang ramai boleh menggunakan aplikasi telefon pintar Air Selangor, Facebook dan Instagram Air Selangor, atau layari laman sesawang kami di www.airselangor.com.

Pelanggan juga boleh menghubungi di talian 15300 atau WhatsApp ke 019-2800919/019-2816793 untuk bantuan.

 


Pengarang :