AGENSISELANGOR

LRA Sungai Semenyih kembali beroperasi tengah hari ini

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih telah beroperasi bermula jam 1 tengah hari ini manakala LRA Bukit Tampoi masih belum boleh memulakan operasi.

Air Selangor dalam satu kenyataan menjelaskan situasi tersebut akan menyebabkan proses rawatan dan pengeluaran air terawat mengambil sedikit masa sebelum bekalan stabil untuk disalurkan kepada pengguna.

“Sebagai usaha lanjut untuk memastikan tahap pencemaran bau tidak meningkat semula di air mentah Sungai Semenyih, pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang mengambil langkah proaktif dengan mengepam air dari Tasik Idaman ke Sungai Semenyih bagi tujuan penstabilan dan pencairan pencemaran bau ini.

“Dengan langkah ini, Air Selangor berharap pencemaran bau tidak akan berulang,” menurut kenyataan itu.

Air Selangor kini giat menyalurkan bekalan air kecemasan dengan pengagihan lori-lori tangki air kepada pengguna yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual selain turut mengagihkan botol air minum berkapasiti lima liter untuk kegunaan pengguna yang tinggal di kediaman bertingkat.

Setakat 12 tengah hari tadi sebanyak 6,930 botol air minum telah diagihkan ke kawasan-kawasan terlibat.

Air Selangor menyarankan supaya pengguna mengunjungi 11 buah Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang beroperasi selama 24 jam di empat wilayah sebelum ini untuk sebarang urusan atau aduan masalah sekaligus mengelakkan kesesakan talian di pusat panggilan Air Selangor.

Pengguna juga diminta menggunakan pili-pili awam yang telah dipasang di 14 lokasi di seluruh kawasan terlibat bagi mendapatkan bekalan air, menurut Air Selangor.

“Pihak kami meminta pengguna terlibat bersabar dengan keadaan yang tidak diingini ini dan kami sedang mengambil langkah-langkah yang lebih proaktif bagi menyelesaikan isu ini dengan kadar segera.

“Pengguna yang ingin mendapatkan perkembangan terkini berhubung gangguan ini boleh terus rujuk aplikasi telefon pintar Air Selangor, Facebook dan Instagram Air Selangor, atau layari laman sesawang kami di www.airselangor.com selain menghubungi talian bebas tol yang kini mengalami kesesakan trafik panggilan masuk. Pelanggan juga boleh menghubungi kami di talian 15300 atau WhatsApp ke 019-2800919/019-2816793 untuk bantuan,” jelas Air Selangor.

-BERNAMA


Pengarang :