AGENSISELANGOR

LZS bantu anak tunggal mengidap kanser otak

SHAH ALAM, 6 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menghulurkan bantuan kepada anak pemandu lori yang mengidap penyakit kanser otak (Medulloblastoma).

Menerusi laman Facebook LZS, Skuad Saidina Umar (SSU) LZS terus turun padang sebaik menerima maklumat berkenaan nasib kanak-kanak berusia sembilan tahun itu.

“Kanak-kanak itu disahkan mengidap kanser otak pada Mei lalu dan sejak itu dia memerlukan beberapa prosedur perubatan.

“Dia telah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di kepala, memasang tiub saluran air dari otak ke perut dan memasang saluran kimo pada badannya,” katanya.

Difahamkan, bapa kepada kanak-kanak itu bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan manakala isterinya tidak bekerja.

Katanya, kanak-kanak malang itu anak tunggal kepada keluarga berkenaan.

“LZS memberi bantuan kos perubatan bulanan, kos lampin pakai buang dan susu khas kepada kanak-kanak itu,” katanya.

Pada masa sama, LZS juga akan membantu meringankan beban keluarga itu dengan memberi bantuan bulanan kerana keluarga itu juga menyewa rumah.


Pengarang :