AGENSISELANGOR

LZS peruntuk RM32.9 juta bantu persekolahan anak asnaf

SHAH ALAM, 13 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM32.9 juta kepada 30,718 ketua keluarga asnaf fakir dan miskin bagi membiayai persiapan persekolahan sesi 2020.

LZS menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, bantuan itu diagihkan setiap tahun bertujuan meringankan bebanan golongan terbabit terutama bagi persediaan kelengkapan sekolah anak mereka.

Katanya, pengagihan itu membabitkan 65,956 anak asnaf fakir dan miskin bermula daripada peringkat pra sekolah hingga menengah.

“Melalui bantuan ini, setiap pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan menerima RM170 dan pelajar Sekolah Rendah Agama RM150 seorang.

“Manakala pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan pula menerima RM200 seorang,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, kesemua kelengkapan persekolahan itu boleh diperolehi di Pasar Raya Borong Sakan, Econsave Cash & Carry, Tesco, Canggih dan Jakel terpilih sekitar Selangor.

Katanya, ketua keluarga boleh mula membuat penebusan mulai hari ini dengan hanya perlu mengemukakan MyKad sebagai rujukan sebelum menebus kelengkapan persekolahan.


Pengarang :