AGENDANASIONAL

Mahkamah Tinggi benar Najib semak dokumen Justo kepada SPRM

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memeriksa 17,000 keping dokumen diserahkan Xavier Andre Justo kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Permohonan itu berkaitan perbicaraan rasuah yang sedang dihadapi Najib melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Dalam permohonan itu, Najib memohon perintah mahkamah untuk memaksa pihak pendakwaan atau mana-mana entiti lain yang memiliki, menjaga dan mengawal dokumen yang diserahkan Justo kepada SPRM berkaitan usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi International Ltd, sama ada dalam bentuk fizikal atau dimuat turun daripada peranti storan digital, untuk diperiksanya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam mewakili Najib, Al Firdaus Shahrul Naing dan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Hakim Sequerah dalam penghakimannya berkata permohonan oleh pemohon (Najib) bukan dibuat secara suka-suka kerana bahan yang dimohon adalah relevan dengan pertuduhan dalam perbicaraan 1MDB yang sedang dihadapinya.

“Saya juga mendapati terdapat asas yang mencukupi bahawa dokumen berkenaan adalah relevan dengan pemohon dan pembelaannya,” kata hakim.

Berhubung Seksyen 124 Akta Keterangan, Hakim Sequerah berkata dakwaan berhubung keistimewaan responden (pendakwa raya) boleh disemak oleh mahkamah dan dengan itu perkara berkenaan tidak diambil kira sebagai muktamad.

“Saya tidak menemukan apa-apa untuk menunjukkan bahawa kepentingan awam mungkin terjejas daripada pendedahan bahan-bahan itu,” katanya.

Selepas hakim menyampaikan keputusan itu, Sri Ram memberitahu mahkamah pihak pendakwaan akan menyerahkan 17,000 dokumen itu menerusi ‘thumb drive’ kepada pasukan pembelaan.

Hakim Sequerah mengarahkan pihak pendakwaan untuk menyerahkan dokumen itu kepada pihak pembelaan dalam tempoh tiga minggu dari hari ini.

Najib, 66, sebagai pemohon memfailkan notis usul pada 16 Oktober dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Najib antara lain memohon mahkamah untuk memaksa pihak pendakwaan atau mana-mana entiti lain yang memiliki dan mengawal dokumen berkenaan untuk menyerahkannya kepada beliau.

Najib memfailkan permohonan itu atas alasan dokumen yang dimohon adalah relevan dan dapat membantu pembelaan pemohon, yang mungkin telah digugurkan atau ditahan daripada dikeluarkan yang bercanggah dengan Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau berkata pemeriksaan atau pengeluaran dokumen itu adalah tidak bercanggah dengan kepentingan awam, dan sebaliknya tidak mendedahkan dan menolak untuk ia diperiksa adalah menafikan hak pemohon untuk mendapat perbicaraan adil.

Dalam afidavit disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Seri Azam Baki, menyatakan dokumen berkenaan diterima secara rahsia rasmi dan dilindungi di bawah Seksyen 124 Akta Keterangan.

Mahkamah menetapkan 7 Januari untuk pengurusan kes bagi pihak-pihak mengemas kini berhubung penyerahan dokumen itu.

Sementara itu, bagi kes 1MDB, Hakim Sequerah menetapkan 13 hingga 16 Januari dan 20 Januari untuk sambung bicara.

Mahkamah turut menetapkan 3 hingga 6 Februari, 10 hingga 13 Februari, 17 hingga 20 Februari, 9 hingga 12 Mac, 16 hingga 19 Mac, 23 hingga 26 Mac dan 30 Mac.

Tarikh lain yang ditetapkan adalah 2 April, 4 hingga 6 Mei, 1 hingga 4 Jun, 8 hingga 11 Jun, 20 hingga 23 Julai, 27 hingga 30 Julai dan seluruh Ogos kecuali Jumaat.

Pihak pembelaan akan menyambung pemeriksaan balas ke atas saksi utama, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

-BERNAMA


Pengarang :