AGENSISELANGOR

MAIS-NGO Islam ganding bahu bantu pesalah juvana

SHAH ALAM, 28 DIS: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sedia berganding bahu bersama badan bukan kerajaan (NGO) Islam dalam mengadakan program khas kepada pesalah juvana.

Anggota MAIS, Ahmad Zawawi Mohd Mughni berkata, pembabitan NGO dalam memberi kesedaran dan membimbing remaja berkenaan sangat diperlukan.

“Lebih lagi program pendidikan berteraskan Islam boleh berperanan sebagai medan dakwah dalam usaha membentuk, memulih dan mengembalikan remaja yang tersalah langkah sehingga terbabit jenayah.

“MAIS sentiasa bersedia memberi bimbingan dan sokongan moral kepada remaja bermasalah selari dengan kehendak syarak,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas Program Mesra Anak Muda yang dianjurkan MAIS dan Darul Wardah di Pusat Koreksional, Puncak Alam baru-baru ini.

Zawawi yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis berkata, terdapat 500 penghuni pusat berkenaan berusia antara 13 hingga 21 tahun dan separuh daripada jumlah itu beragama Islam.

“Modul pertama ini ialah Program kesedaran dan keinsafan yang membabitkan NGO WADAH, Angkatan Belia Islam Malaysia dan Darul Wardah.

“Pihak Koreksional sangat mengalu-alukan pihak NGO Islam untuk membantu pembangunan diri insan terutama berkaitan pengisian kerohanian dan spiritual mereka,” katanya.

Selaku ahli MAIS, beliau hadir untuk melihat dan mendengar kisah remaja berkenaan yang memerlukan perhatian.


Pengarang :