Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap ketika sesi pleno bertajuk ‘Pengagihan Semula Kekayaan – Kemakmuran Bersama’ sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 pada 20 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Malaysia gesa perdagangan sesama negara Islam dipertingkat

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Negara-negara Islam perlu menggiatkan perdagangan dan pelaburan yang lebih besar untuk mewujudkan skala ekonomi dengan mengguna pakai revolusi perindustrian keempat bagi menjana kekayaan dan kemakmuran.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pakatan bersama dan kerjasama strategik geo-ekonomi perlu untuk mewujudkan pekerjaan baharu, kekayaan dan membuka peluang ekonomi baharu.

“Adalah penting negara-negara Islam yang kaya dan lebih baik menggerakkan sumber mereka untuk memajukan pembangunan modal insan kemahiran tinggi baharu negara Islam yang kurang maju,” katanya.

Pada masa ini, beliau berkata syarikat swasta Malaysia melaksanakan beberapa projek dengan rakan-rakan mereka di Qatar, Turki dan Pakistan.

Mohamed Azmin berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pembukaannya pada sesi pleno, bertajuk “Pengagihan Semula Kekayaan – Kemakmuran Bersama” bersempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019, di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia akan membuka ladang tenusu terbesar melalui kerjasama dengan Qatar, dengan memanfaatkan teknologi dan kepakarannya.

“Kami melihat ke arah meningkatkan kerjasama dengan Turki, yang mempunyai industri pertahanan maju dan kini menghasilkan lebih 70 peratus peralatan ketenteraannya sendiri,” katanya.

Pengeluar kereta, Proton Holdings Bhd, akan membina kilang pemasangan di Karachi pada 2021, yang menyasar untuk menjana pelaburan dan mewujudkan pekerjaan kepada warga Pakistan selain memacu aktiviti komersial, kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata negara-negara Islam perlu mencontohi Indonesia dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang mesra teknologi dan pelaburan, di mana pemula niaga seperti pengangkutan dalam talian, Go-Jek telah mewujudkan ekonomi gig.

– BERNAMA


Pengarang :