Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Malaysia tangani segala cabaran bagi memastikan kejayaan APEC 2020

CYBERJAYA, 4 DIS: Malaysia akan menangani semua cabaran, termasuk risiko penurunan dari luar dan ketegangan dasar perdagangan yang masih berlarutan, bagi memastikan kejayaan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 di mana faedah daripada perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi mampu dinikmati rakyat.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, APEC penting kepada Malaysia kerana rantau ini menyumbang lebih daripada 80 peratus kepada jumlah perdagangan negara dan lebih daripada 70 peratus melalui pelaburan langsung asing dalam sektor pembuatan.

“Kira-kira 40 peratus daripada peluang pekerjaan yang diwujudkan, secara langsung terkait dengan aktiviti eksport.

“Kami mempunyai kepentingan untuk memastikan rantau ini tetap mesra perniagaan dan dasar perdagangan serta pelaburan akan membawa kemakmuran kepada semua, sehingga kepada rakyat biasa,” katanya ketika melancarkan APEC 2020, di sini, hari ini.

Acara itu dihadiri oleh wakil-wakil APEC, duta besar termasuk pesuruhjaya tinggi, pemimpin perniagaan yang terkemuka serta pegawai-pegawai kerajaan.

Sebagai tuan rumah APEC 2020, Mahathir berkata, Malaysia akan meneruskan usaha mengenai peranan wanita dalam ekonomi; keterangkuman kewangan; penglibatan belia; pembangunan mampan dan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk usahawan, pemula niaga serta perusahaan sosial.

Menurut Mahathir, Malaysia telah memilih tema ‘Mengoptimumkan Potensi Manusia ke arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran’ untuk APEC 2020, yang mencerminkan bahawa falsafah yang mendokong persidangan ini adalah ‘Perkongsian Kemakmuran’.

“Sudah tiba masanya anggota-anggota ekonomi ini mempertimbangkan falsafah tersebut dan ditanam sebagai teras dalam model ekonomi semasa.

“Memperbaiki kesejahteraan keseluruhan rakyat kita serta membolehkan mereka mempunyai standard hidup yang lebih baik akan menjadikan APEC terus mampan dan relevan sebagai satu kumpulan dalam jangka panjang,” katanya.

Dr Mahathir dalam ucapannya, turut menggesa anggota-anggota APEC untuk bersatu dan memanfaatkan kekuatan kolektif mereka bagi mengatasi masalah dan cabaran, menyusun semula keyakinan serta maju ke hadapan.

Untuk memulihkan keyakinan, anggota APEC perlu memberi makna kepada usaha pembangunan ekonomi mereka serta harus bekerjasama ke arah perkongsian kesaksamaan manfaat, daripada perusahaan besar sehingga kepada industri kecil dan sederhana termasuk rakyat biasa, katanya.

“APEC berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan kekuatan pengambilan keputusannya secara konsensus, tidak mengikat dan sukarela bagi memupuk serta menyokong hasil yang lebih bermakna dalam arena perdagangan dan pelaburan global.

“Hakikatnya, inisiatif APEC kini harus bergerak melepasi inisiatif liberalisasi untuk menjadi lebih inklusif dan melibatkan semua golongan rakyat,” jelas beliau.

APEC, yang terdiri daripada 21 ekonomi termasuk Malaysia, merupakan forum ekonomi serantau yang diasaskan pada 1989 untuk meningkatkan kesalingbergantungan di Asia Pasifik dan bertujuan mewujudkan kemakmuran yang lebih luas dengan mempromosikan pertumbuhan yang seimbang, inklusif, mampan, inovatif dan selamat termasuk mempercepatkan integrasi ekonomi serantau.

– BERNAMA


Pengarang :