Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman (kanan) bersama anggotanya menjalani sesi latihan pengendalian bot dan enjin bot di Tasik Stadium Tertutup Gong Badak pada 18 Disember 2019 sebagai persediaan bagi berhadapan dengan bencana banjir. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir di Kelantan, Terengganu meningkat

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Jumlah mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat ekoran gelombang kedua bencana itu bermula semalam.

Hari ini, jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 4,065 orang daripada 1,205 keluarga sehingga 8 pagi ini, berbanding 3,575 orang melibatkan 1,053 keluarga malam tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jajahan Pasir Mas mula terjejas banjir apabila lima PPS beroperasi membabitkan 312 mangsa daripada 94 keluarga.

Jeli kekal mangsa paling ramai melibatkan 1,969 orang (616 keluarga) di 12 PPS, diikuti Tanah Merah 1,211 mangsa (319 keluarga) di 22 PPS manakala Machang 272 orang (85 keluarga) di tiga PPS.

Kuala Krai mencatat 235 mangsa daripada 68 keluarga di empat PPS sementara Pasir Puteh seramai 66 mangsa (23 keluarga) melibatkan sebuah PPS.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 129 orang daripada 42 keluarga pagi ini berbanding 88 mangsa (27 keluarga) malam tadi.

Ia melibatkan pembukaan sebuah lagi PPS di Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu menjadikan jumlah keseluruhan lima PPS yang beroperasi ketika ini.

Info Bencana JKM melaporkan 80 mangsa (25 keluarga) berada di tiga PPS di Dungun manakala 49 mangsa (17 keluarga) kini berada di dua PPS di Hulu Terengganu.

Selain itu, tiga sungai masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu; Sungai Dungun di Kuala Jengai serta Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu.

Di Pahang, jumlah terkini mangsa banjir seramai 1,071 orang daripada 289 keluarga di daerah Rompin, Temerloh dan Bera.

Setakat jam 8 pagi, portal Info JKM melaporkan lapan PPS masih beroperasi di tiga daerah terlibat iaitu Rompin, Temerloh, Bera.

Jumlah mangsa banjir di Rompin seramai 456 orang, manakala di Temerloh dan Bera pula, masing-masing 235 mangsa di dua PPS dan sembilan mangsa di satu PPS.

Di Johor, seramai 2,669 mangsa daripada 716 keluarga masih ditempatkan di 43 PPS melibatkan enam daerah di Johor, setakat jam 8 pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, angka itu menunjukkan penurunan berbanding 2,687 orang daripada 722 keluarga pada 8 malam tadi berikutan cuaca yang semakin baik.

“Daerah terjejas ialah Kluang, Kota Tinggi, Mersing, Pontian, Batu Pahat dan Segamat.

“Mersing merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 805 orang diikuti Kluang 576 orang,” katanya dalam kenyataan.

– BERNAMA


Pengarang :