AGENDANASIONAL

MAQIS rampas biji benih bayam, baja organik tanpa permit

SEPANG, 25 DIS: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 30 kilogram (kg) biji benih bayam dan 10 kg baja organik di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2), petang semalam.

MAQIS dalam kenyataan hari ini berkata hasil pemeriksaan pukul 4 petang semalam mendapati biji benih bayam dan baja organik itu dibawa masuk oleh seorang lelaki dari India untuk ditanam dan digunakan di negara ini.

“Kesemua barang pertanian yang dibawa itu tidak mempunyai dokumen yang sah seperti Import Permit dan Sijil Fitosanitasi,” katanya.

Kes disisasat di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3) akta yang sama dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“Pihak MAQIS akan sentiasa bersedia dalam melakukan tugasan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi pertanian yang masuk ke Malaysia mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan makanan terjamin dan selamat dimakan oleh rakyat Malaysia,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :