SELANGOR

MAQIS Selangor rampas 6,887 kilogram herba cina

SHAH ALAM, 30 DIS: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor merampas 6,8887 kilogram produk pertanian herba cina dianggarkan bernilai RM213,145 yang tidak mematuhi syarat import dalam satu pemeriksaan di pintu masuk Pelabuhan Klang Utara, dekat sini, Selasa lepas.

Pengarahnya, Dr. Tarmisal Alimin berkata rampasan yang dilakukan sekitar pukul 3.30 petang oleh sepasukan pegawai penguatkuasa MAQIS berikutan produk itu dikesan tidak mematuhi syarat import MAQIS yang ditetapkan.

“Hasil daripada pemeriksaan mendapati pengimport telah mengimport ubat cina (herbal mentah) yang tidak mengikut syarat import iaitu nombor import permit tidak dinyatakan di dalam sijil fitosanitasi.

“Produk tersebut diimport masuk menggunakan kapal dagang dari negara China dan pihak kami telah menahan produk itu bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Tarmisal, pengimport yang gagal mematuhi syarat yang dinyatakan di dalam permit import merupakan kesalahan yang boleh didakwa di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) dan Seksyen 15(2) boleh didenda sehingga RM 100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Justeru, pihaknya sentiasa meningkatkan kawalan terhadap aktiviti import dan eksport di semua pintu masuk negara bagi menjaga keselamatan agromakanan di Malaysia.

-BERNAMA


Pengarang :