AGENSISELANGOR

Masdiana-Jamu Ratu Malaya bantu 900 kanak-kanak

BATU CAVES, 8 DIS: Seramai 900 kanak-kanak dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua dan DUN Taman Templer menerima sumbangan Kembali Ke Sekolah di Dewan Seri Siantan, di sini, hari ini.

Isteri Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad berkata, ia adalah sumbangan individu daripada beliau  bersama Jamu Ratu Malaya (JRM) Holistik Sdn Bhd.

Katanya, ia adalah kolaborasi pertama kali pihaknya bersama JRM Holistik serta optimis ia akan diteruskan pada masa akan datang dalam memastikan lebih ramai kanak-kanak dari keluarga kurang berkemampuan dapat dibantu.

“Buat masa sekarang kita memilih dua DUN ini (Sungai Tua) memandangkan ia DUN suami saya (Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari), manakala DUN Taman Templer pula kerana saya pernah bersekolah di Sekolah Rendah Selayang Baru.

“Terima kasih juga kepada JRM Holistik kerana sudi memberikan sumbangan ini dan semoga kita dapat perluaskan lagi untuk semua kanak-kanak seluruh Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program Sumbangan “Back To School” Sinar Insani anjuran JRM Holistik.

Pada masa sama, Masdiana berkata, beliau amat menggalakkan kerjasama dari semua pihak terutama syarikat korporat untuk bersama terlibat dalam program tanggungjawab sosial korporat, sekali gus membantu golongan asnaf.

“Dengan sumbangan anda semua ia mampu menceriakan hari mereka terutama golongan kanak-kanak,” katanya.

Terdahulu, JRM Holistik yang diwakili pengasasnya, Rozita Ibrahim turut menyampaikan sumbangan berupa beg sekolah, peralatan menulis dan set bekas makanan kepada kanak-kanak terbabit.

Rozita ketika ditemui berkata, beliau teruja di atas sambutan hari ini dan berharap akan ada lagi kerjasama bersama Kerajaan Negeri pada masa akan datang.

“Jika diizinkan saya mahu memperluaskan lagi sumbangan ini dan tidak hanya untuk program kembali ke sekolah tetapi mungkin program Ramadhan,” katanya.


Pengarang :