Peserta bergambar kenangan ketika Majlis Apresiasi Sukan Pejabat Tanah dan Daerah Selangor (PETANDA) 2019 di IDCC, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB galak penjawat awam aktif bersukan

SHAH ALAM, 20 DIS: Penjawat awam disaran untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersukan dalam memastikan fizikal dan mental mereka kekal sihat, sekali gus dapat meningkatkan produktiviti kerja.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, ini kerana aktif bersukan mampu mengatasi masalah obesiti penyebab kepada pelbagai penyakit berbahaya antaranya serangan jantung, kencing manis dan darah tinggi.

“Bagi penjawat awam, kesihatan dan kecergasan adalah suatu yang penting selain ia adalah faktor melaksanakan tanggungjawab memberikan perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih efisyen, inovatif, kreatif dan produktif.

“Penjawat awam tidak bersukan atau yang kerap sakit pastinya akan gagal menyampaikan perkhidmatan kepada orang ramai dengan lebih efisien,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyempurnakan gimik Pelancaran Buletin Sukan PETANDA 2019 ketika Majlis Apresiasi Sukan Pejabat Tanah dan Daerah Selangor (PETANDA) 2019 di IDCC, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

 

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Kejohanan Sukan Pejabat Tanah dan Daerah Selangor (PETANDA) Kali Ke-13 2019, di Ideal Convention Centre Shah Alam di sini, malam tadi.

Ketika menyentuh penganjuran Kejohanan Sukan PETANDA Ke-13 2019, Amirudin berkata, kegiatan seperti ini mampu menjalin kerjasama erat kakitangan dan meningkatkan persefahaman walaupun bertugas di daerah berlainan.

Amirudin juga menyampaikan penghargaan kepada tuan rumah kejohanan, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat di atas kejayaan penganjuran kali ini.

Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat diumumkan juara keseluruhan bagi Sukan PETANDA edisi ke-13 ketika Majlis Apresiasi Sukan Pejabat Tanah dan Daerah Selangor (PETANDA) 2019 di IDCC, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

 

Dalam kejohanan membabitkan 14 kategori menerusi 10 acara sukan itu, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat muncul juara keseluruhan diikuti Pejabat Tanah dan Galian Selangor di tempat kedua.

Manakala Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor dan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat.

Sementara itu, dua wakil kontinjen Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat, Rumzi Ngahton dan Norliza Razali masing-masing dinobatkan sebagai olahragawan serta olahragawati kejohanan kali ini.


Pengarang :