Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Sambutan Perayaan Hari Krismas Peringkat Selangor 2019 di GM Klang, Klang pada 14 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Proses ambil alih tapak Highland Towers makan masa

KLANG, 14 DIS: Pengambilalihan tapak kondominium Highland Towers, Hulu Kelang, belum boleh diselesaikan hingga hujung tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, perkara itu berikutan terdapat beberapa proses perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum pengambilalihan tanah dilakukan.

Katanya, Kerajaan Negeri juga baharu sahaja menerima surat berkenaan pengambilalihan tapak tanah terbabit daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada November lalu.

“Kita memang mahu menjalin kerjasama dengan kerajaan Persekutuan terutama KPKT bagi membangunkan semula kawasan Highland Towers dan menyediakan perumahan untuk rakyat.

“Namun, prosesnya mengambil masa agak lama kerana kita perlu mendapat maklum balas, pewartaan dan jika wujud beberapa isu lain, ia memerlukan tempoh antara tiga hingga empat bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Krismas peringkat Selangor 2019 di pekarangan Pusat Borong Beli Belah GM Klang di sini, hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) memegang cek replika sumbangan kepada rumah ibadat bukan Islam dan bergambar ramai ketika Sambutan Perayaan Hari Krismas Peringkat Selangor 2019 di GM Klang, Klang pada 14 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Turut hadir, isteri Amirudin, Datin Seri Masdiana Muhamad; EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian; EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han serta EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari.

Sementara itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri sedang menguruskan proses itu di pelbagai peringkat terutama di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kerana ia membabitkan Pejabat Tanah dan Galian serta beberapa pihak berkaitan.

Mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang mahu proses pengambilalihan dilakukan sebelum memasuki 2020, Amirudin berkata, ia tidak menjadi masalah jika diselesaikan Januari depan.

“Proses pengambilalihan ini juga perlu dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan saya rasa tidak menjadi masalah jika ia diselesaikan pada Januari depan.

“Namun, kita tetap akan melihat sama ada proses berkenaan boleh dipercepatkan atau sebaliknya,” katanya.

Amirudin berkata, beliau juga sudah mengadakan mesyuarat bersama Zuraida bagi membincangkan isu itu.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan, Zuraida mahu Kerajaan Negeri mempercepatkan kelulusan untuk pengambilalihan tapak Highland Towers supaya bangunannya boleh dirobohkan.

Difahamkan, Zuraida juga pernah memaklumkan proses meroboh bangunan terbengkalai sejak 1993 itu diharap dapat dimulakan pada Jun lalu.


Pengarang :