Foto Twitter Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Rapatkan hubungan, kukuh persaudaraan

SHAH ALAM, 25 DIS: Masyarakat diseru menjadikan Krismas sebagai landasan merapatkan hubungan keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga dalam suasana harmoni dan kasih sayang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sikap itu menjadi sebahagian rukun hidup masyarakat majmuk yang menjadi resipi kejayaan Malaysia lebih 62 tahun.

“Kedamaian yang kita capai ini harus dipertahankan, seperti titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-74 baru-baru ini.

“Untuk itu, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Natal untuk semua penganut Kristian daripada pelbagai latar belakang, sama ada Cina, India, Serani mahupun bumiputera Sabah dan Sarawak.

“Selamat Hari Natal juga kepada tetangga Kristiani di Indonesia dan penganut Katolik terbesar di Filipina,” katanya dalam perutusan khas sempena Krismas.

Amirudin turut mengimbau kisah hidup Jesus Christ atau Isa A.S membawa mesej keamanan, persaudaraan dan cinta.

Katanya kehidupan baginda mencetuskan perubahan besar dengan menyentuh banyak sendi kehidupan manusia seperti seni rupa, seni muzik dan budaya secara amnya.

Amirudin turut menyeru masyarakat “melayan seseorang seperti mana kita ingin dilayani” yang menjadi pegangan golongan Kristian sejak sekian lama atau ‘Golden Rule’ dalam perkembangan moral dan etika.


Pengarang :