BERITA UTAMASELANGOR

MB: Sedia latihan, mantapkan KPI penjawat awam

SHAH ALAM, 16 DIS: Kerajaan Negeri akan menyediakan peluang latihan kepada penjawat awam yang tidak berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam penilaian petunjuk prestasi utama (KPI) bagi menentukan jumlah Bantuan Khas Kewangan (BKK).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, langkah berkenaan bukan bersifat menghukum tetapi untuk memantapkan keupayaan penjawat awam supaya mampu memberikan perkhidmatan lebih baik pada masa akan datang.

“Bagi kelompok ini, kita (Kerajaan Negeri) akan sediakan latihan dan pendedahan sama ada dalam atau luar negeri supaya (penjawat awam) berubah dan bergerak ke arah lebih baik untuk mencapai KPI ditetapkan,” katanya.

Bacaan ikrar sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 16 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dalam amanat yang disampaikan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz beliau berkata, seramai 105 penjawat awam menerima BKK sebanyak dua bulan gaji, 21,612 orang bakal menerima sebulan gaji manakala selebihnya RM500.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM32.5 juta untuk pemberian BKK kepada 22,992 penjawat awam di Selangor yang dibayar pada 24 Disember ini.

Katanya, sebanyak 13 agensi di Selangor merangkumi dua Pejabat Daerah dan Tanah; dua Badan Berkanun; dua jabatan serta tujuh pihak berkuasa tempatan (BT) telah diperakukan sebagai jabatan cemerlang sepanjang tahun ini.

Dato’ Menteri Besar turut mengumumkan kejayaan Kerajaan Negeri menerima pengiktirafan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memberikan Anugerah Amalan Terbaik Pengurusan Nilai Perkhidmatan Awam dan Anugerah Juara Anti Rasuah kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Disember lalu.


Pengarang :