Foto AFP
AGENDANASIONAL

MBM: Nyanyi Negaraku dalam Mandarin persenda simbol negara

SHAH ALAM, 9 DIS: Majlis Belia Malaysia (MBM) tidak bersetuju dengan alasan Negaraku dinyanyikan dalam bahasa Mandarin atau Arab bertujuan memberi kefahaman terhadap maksud, tujuan dan adab lagu kebangsaan itu.

Timbalan Ketua Penerangan MBM, Chong Eng berkata video tular yang menunjukkan murid sebuah sekolah menyanyikan Negaraku dalam bahasa Mandarin baru-baru ini menjatuhkan prestij lagu itu pada pandangan masyarakat.

Katanya insiden terbabit jelas memberi imej buruk terhadap generasi muda kerana dilihat mempersenda simbol negara yang sepatutnya dihormati.

“Walaupun ia tidak dilakukan semasa acara rasmi, namun tidak wajar lagu Negaraku diterjemah dan dinyanyi dalam bahasa lain selain bahasa kebangsaan.

“Tidak kira apa alasan sekalipun lagu Negaraku sebagai lagu kebangsaan wajib dinyanyikan dalam bahasa Melayu sebagai mendukung Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan mengenai Bahasa Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chong turut menggesa generasi muda supaya lebih peka dengan sejarah dan menghayati lirik lagu Negaraku bagi membangkitkan semangat kecintaan terhadap negara.

Katanya generasi muda perlu menghindari apa jua bentuk perkara yang boleh mencetuskan api perkauman selain menjaga keharmonian negara supaya rakyat Malaysia kekal hidup bersatu padu serta aman damai.

“Lagu Kebangsaan ‘Negaraku’ diperdengar julung kali selepas detik 12 malam pada ambang 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor.

“Pada malam bersejarah itu, bendera Union Jack diturunkan dan digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu, diiringi lagu Negaraku. Bermula dari detik inilah, Negaraku terus kekal menjadi lagu rasmi negara,” katanya.


Pengarang :