Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyampaikan Anugerah Komuniti Mampan kepada 17 komuniti bagi melaksanakan inisiatif ke arah pembangunan mampan di Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 12 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBPJ peruntuk RM215,000 bantu realisasi komuniti mampan

PETALING JAYA, 13 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengagihkan dana RM170,000 kepada 17 komuniti ‘champion’ bagi membantu menggerakkan projek pembangunan mampan di kawasan masing-masing.

Sebanyak 15 lagi komuniti menerima sagu hati dengan peruntukan RM45,000.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, peruntukan terbabit adalah usaha mempersiapkan kawasan MBPJ ke arah lebih sejahtera dan makmur seperti dilaungkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berucap sempena Majlis Anugerah Komuniti Mampan Petaling Jaya di Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 12 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kami akan membantu semua komuniti terpilih ini untuk membina kolobrasi dengan sektor swasta, badan korporat dan pemegang taruh bagi melaksanakan projek di kawasan masing-masing agar lebih komprehensif, berkembang dan membawa impak.

“Ia sekali gus mampu mewujudkan Masyarakat Pintar (Smart People) di Petaling Jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Komuniti Mampan 2019 bertempat di Dewan Sivik MBPJ, semalam.

Antara komuniti `champion’ yang terpilih ialah Persatuan Penduduk Blok 3 Desa Mentari, Persatuan Penduduk PJS1 South Avenue, Persatuan Penduduk Kampung Selamat, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Samad dan Childline Foundation.

Setiap komuniti `champion’ itu menerima dana RM10,000. MBPJ memperuntukkan dana keseluruhan RM215,000 untuk projek pembangunan mampan di bawah pentadbirannya.

Sementara itu, antara komuniti yang diberi saguhati bagi projek pembangunan mampan ialah komuniti SMK Perempuan Taman Petaling, SMK Assunta, SMK Damansara Jaya, Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia dan Sekolah Kebangsaan Sri Kelana diberi sagu hati.

Setiap komuniti terbabit menerima dana RM3,000.

Pada masa sama, Mohd Sayuthi menyeru semua ahli majlis MBPJ memainkan pernanan lebih agresif bagi menggalakkan komuniti di setiap kawasan menjuarai wawasan matlamat pembangunan mampan seiring dengan situasi global dan masa kini.


Pengarang :