Datuk Bandar MBPJ, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar pada persidangan ‘Petaling Jaya Waste Summit 2019’ di Petaling Jaya baru-baru ini.
PBTSELANGOR

MBPJ tanggung RM85 juta kos kutip sampah tahun lalu

PETALING JAYA, 5 DIS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus komited mempertingkatkan usaha dalam mempelbagaikan pelaksanaan projek kitar semula membabitkan kerjasama pemegang taruh.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, hal itu bagi membolehkan langkah penjimatan bagi perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan awam yang dilakukan.

“MBPJ membelanjakan RM85 juta bagi perkhidmatan kutip sampah dan pembersihan awam tahun lalu, manakala bagi bayaran fi di tapak pelupusan, MBPJ turut menanggung kos RM12 juta.

“Pengurusan sisa juga ada dalam agenda utama MBPJ ke arah bandaraya berkarbon rendah kerana sektor ini menyumbang sebanyak lapan peratus pengurangan,” katanya pada persidangan ‘Petaling Jaya Waste Summit 2019’, baru-baru ini.

Mohd Sayuthi berkata, MBPJ turut mensasarkan 30 peratus unit kediaman di Petaling Jaya untuk melakukan aktiviti kitar semula pada tahun ini.

“PJ Eco Recycling Plaza yang terletak di SS8 pula akan menjadi tarikan pusat rujukan dan kajian ‘Circular Economy’ bersepadu yang dilengkapi fasiliti kitar semula dan Upcycling.

“Saya menyeru penyertaan daripada masyarakat dan korporat supaya dapat memperbanyakkan program kitar semula demi menjaga kelangsungan dan keselestarian bandar raya Petaling Jaya,” katanya.

Terdahulu, MBPJ dipilih sebagai pemenang bagi Anugerah Inisiatif Program Pengkomposan Sisa di bawah pelaksanaan Inisiatif Kejiranan Hijau 2019.

Tiga kawasan yang memenangi anugerah itu ialah Komuniti Blok 3 Desa Mentari, Kampung Selamat PJU 10 dan SS20.

Pada masa sama, Sayuthi berkata, MBPJ turut memberikan insentif tong kompos percuma dan potongan kepada cukai taksiran kepada pemilik rumah yang menjalankan aktiviti pengkomposan di rumah mereka.

“Kerajaan Negeri juga bersetuju melaksanakan proses rawatan sisa secara kaedah sampah kepada tenaga di peringkat pihak berkuasa tempatan.

“Oleh itu, pusat pengkomposan yang dibangunkan oleh MBPJ menggunakan teknologi ‘Anaerobic Digester’ yang menghasilkan kompos cecair dan biogas bagi menjanakan tenaga elektrik,” katanya.


Pengarang :